istana kehakiman
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penulis blog, Lim Sian See mengingatkan kembali tentang dakwaan campur tangan dalam sistem kehakiman negara semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memetik kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam New Straits Times pada 19 Jun 2018 yang mendakwa Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Md Raus Sharif dipanggil berjumpa dengan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

“Ya, beliau pergi berjumpa Daim dan Daim memintanya meletak jawatan. Selepas itu, beliau berjumpa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beliau meletak jawatan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Sian See menambah, apabila Dr. Mahathir ditanya tentang perkara tersebut, bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja mempertahankan tindakan Daim malah dilaporkan berkata: “Majlis tersebut telah menyatakan kepada dua hakim berkenaan – Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin – bahawa adalah lebih baik jika mereka meletak jawatan.”

Beliau mendakwa, DAP dan PH kuat melobi agar seorang hakim dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang berikutnya.

“Ketika situasi itu berlaku, Ketua Hakim Negara sekarang dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November 2018.

“Lima bulan dan enam hari kemudian pada 2 Mei 2019, beliau dinaikkan pangkat sekali lagi dan menjadi Ketua Hakim Negara,” jelasnya.

Secara sinis, Sian See berkata, begitulah bagaimana prinsip kedaulatan undang-undang berfungsi semasa zaman PH.

“Dan Majlis Peguam hanya diam membisu,” katanya. – MalaysiaGazette