KUALA LUMPUR- Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan Tahun 2022 setakat 15 Ogos lalu telah mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Bilangan 2 Tahun 2022 yang dipengerusikannya hari ini.
“Semua kementerian digesa meningkatkan prestasi perbelanjaan. Peruntukan yang tidak dibelanjakan perlu diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementerian-kementerian yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12 dan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu serta cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMK12 demi manfaat Keluarga Malaysia.
Selain itu, menurutnya, mesyuarat bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar serta sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan yang disasarkan dapat dicapai dan proses itu akan bermula dari September tahun ini hingga September 2023.- MalaysiaGazette