Mohd Radzi Md. Jidin

PUTRAJAYA – Pendekatan sewa guna (lease to use) bagi perolehan komputer riba dan peranti teknologi lain untuk kegunaan sekolah dilihat dapat mengurangkan beban pelbagai pihak bagi menyelenggara peralatan itu sekiranya berlaku kerosakan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perkara itu antara transformasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengoptimumkan penggunaan komputer riba dan peranti berkaitan seperti projektor dan mesin pencetak selaras dengan keperluan pendidikan digital di institusi pendidikan.

“Pembekal akan baiki sekiranya berlaku kerosakan peranti dan ia dapat memberi satu kelegaan kepada sekolah di seluruh negara khususnya pentadbir sekolah untuk tangani masalah kerosakan komputer,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1) di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan yang sedang giat dilaksanakan itu telah bermula awal tahun ini dengan jangkaan tamat tahun hadapan serta terbahagi kepada tiga fasa dengan fasa pertama yang melibatkan 3,910 sekolah di seluruh negara hampir 90 peratus selesai dibekalkan dan dipasang peralatan teknologi.

Fasa kedua yang melibatkan 3,455 sekolah dijangka selesai pada awal 2023 manakala fasa ketiga akan tamat pada penghujung 2023 dengan 3,400 sekolah akan menerima manfaat menerusinya.

Radzi berkata, ketiga-tiga fasa tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion manakala pembekalan peralatan dibuat secara pembahagian zon tertentu agar vendor dapat membaik pulih peranti secara pantas sekiranya terdapat kerosakan.

Selain itu, beliau berkata, KPM juga akan melaksanakan projek rintis kelas hibrid melibatkan 110 sekolah merangkumi 550 kelas dengan menyediakan infrastruktur capaian Internet berkelajuan tinggi dalam bilik darjah.

Dengan adanya kelas hibrid, sekolah berupaya mengatur pengajian silang dengan sekolah lain dan dapat mengukuhkan penyampaian pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

“Kita dalam peringkat akhir proses pemilihan sekolah dan harap dapat dilaksanakan pada November depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM kini di peringkat akhir bagi menyiapkan rangka Dasar Pendidikan Digital dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan dijangka dibentangkan di Kabinet dalam masa terdekat.

“Hasrat KPM adalah untuk melihat semua sekolah di seluruh negara dihubungkan dengan Internet yang lebih laju dengan semua tempat di dalam sekolah itu mempunyai akses kepada Internet, bukan hanya di bilik guru, bilik pentadbiran dan pusat sumber,” katanya.

Pada program sama, Radzi turut menyerahkan peranti kepada 25 sekolah di Putrajaya di bawah Projek Perkhidmatan Sewaan Perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Secara Sewa Guna. – Bernama