LAHAD DATU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini memohon maaf kepada keluarga pesakit berhubung insiden pesakit diberi ubat yang salah oleh pegawai perubatan semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Sahabat, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, berdasarkan siasatan, terdapat kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan yang memberikan rawatan kepada pesakit berkenaan.
“Pegawai perubatan terbabit telah melihat buku rawatan yang dibawa oleh pesakit ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat, di mana pesakit mempunyai rekod diberi ubat kencing manis.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyaki buku rawatan yang dibawa pesakit bercampur dengan buku rawatan isteri pesakit, ini menimbulkan kekeliruan kepada pegawai perubatan berkenaan yang meneruskan pemberian ubat kencing manis kepada pesakit.
“Mengikut rekod, pesakit sebenarnya mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakan kalenjar prostat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dr Rose Nani berkata sepatutnya pegawai perubatan memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga pesakit tentang status penyakit yang dihidapi serta jenis ubat yang diberikan.
“Sekiranya proses penerangan dilaksanakan sudah tentu kekeliruan dapat dielakkan,” katanya lagi.
Justeru, katanya, pihaknya akan memastikan para pegawai perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman di negeri itu agar mendapatkan latihan secara berkala berkaitan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan. – Bernama