Bekas Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama Pengerusi Malaysia Best Business Award, Shahir Adnan menyampaikan anugerah 'Best Online News' kepada Pengurus Besar Pemasaran dan Acara MalaysiaGazette, Chloe Siao Hui Boon pada Majlis Malaysia Best Business Award 2022 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Pemulihan sektor ini, sudah pasti akan bantu mempercepat pemulihan ekonomi negara, kata Pengerusi Malaysia Best Business Award 2022, Shahir Adnan.

Beliau berkata, kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada awal tahun ini menunjukkan, pembukaan semula ekonomi telah membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan akibat pandemik.

“Prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik yang mana terdapat peningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh.

“Selain itu, terdapat impak yang positif terhadap permintaan guna tenaga negara. Sebagai tulang belakang ekonomi negara, pada tahun 2020, PMKS telah menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Anugerah Khas Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA 2022), di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Majlis itu disempurnakan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Menurut Shahir lagi, beliau berbangga kerana berpeluang bertemu dengan semua usahawan yang hebat, walaupun diuji dengan musibah Covid-19 mereka masih kekal berjaya.

“Berbekalkan kekuatan, berbekalkan usaha menguruskan perniagaan, berbekalkan daya tahan yang utuh, hari ini sebagai buktinya, kalian semua dianugerahkan dengan Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia 2022,” ujarnya.

Seramai 50 usahawan yang berjaya dalam pelbagai kategori perniagaan masing-masing menerima anugerah pada majlis tersebut.

MalaysiaGazette turut menerima anugerah khas menerusi kategori Best Business In Online News (Digital Publisher Of The Year).

Untuk rekod, Bank Rakyat dan Yayasan Wilayah merupakan penaja korporat bagi majlis itu.

Anugerah diterima Pengurus Besar Pemasaran dan Acara MalaysiaGazette, Chloe Siao Hui Boon. – MalaysiaGazette