Para peserta Iskul Sama DiLaut Omadal sedang tekun melihat cara bercucuk tanam secara hidroponik.

SEMPORNA – Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, telah ke Iskul Sama DiLaut Omadal baru-baru ini bagi membantu komuniti dalam aktiviti bercucuk tanam.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, berkata program itu telah mendapat penajaan daripada Maybank Asset Islamic Managment bagi membangunkan “Kebun Atas Air” dengan menggunakan sistem hidroponik.

“Dengan kerjasama dan sokongan rakan industri membolehkan kita mengembangkan lagi aktiviti-aktiviti yang membantu meningkatkan sosio-ekonomi, kesihatan dan pendidikan masyarakat luar yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti.

“UPM mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak dan universiti mempunyai pelbagai modul yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan komuniti,” katanya.

Pengarah UCTC, UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata, komuniti pedalaman perlu dibantu terutamanya mendidik mereka bagaimana untuk menghasilkan sumber makanan sendiri.

“Program ini akan disusuli dengan aktiviti lanjutan dan pemantauan yang berterusan sama ada secara maya mahupun ke lapangan bagi memastikan komuniti sentiasa merasai semangat kebersamaan dan kekeluargaan bersama UPM,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak lima unit sistem hidroponik bertingkat dan 30 unit hidroponik takung yang dilengkapi dengan baja, biji benih dan keperluan alatan pertanian telah diagihkan kepada komuniti.

”UPM telah berkongsi ilmu yang merangkumi sembilan modul iaitu asas penanaman hidroponik, penyediaan larutan baja AB, kaedah semaian biji benih, penyediaan hidroponik takung dan botol terpakai,” katanya.

Sistem hidroponik bertingkat yang dibekalkan turut dilengkapi dengan pam air yang boleh beroperasi sama ada menggunakan sumber elektrik atau tenaga solar jika mengalami keputusan bekalan elektrik.

Selain itu, 80 peserta menerima manfaat ilmu dan hasil tanaman daripada projek telah diagihkan kepada guru-guru Iskul Sama DiLaut Omadal dan sebahagian pelajar di situ.

Guru Sukarelawan Iskul Sama DiLaut Omadal, Jefry Musa berkata, beliau gembira kerana idea untuk berkebun akhirnya tercapai hasil bantuan dari UPM kira-kira dua bulan yang lalu.

“Sebagai permulaan dan hasil tuaian pertama untuk satu set hidroponik, sebanyak 1.3kg sayur dan ianya bermanfaat kepada komuniti di sini kerana di pulau ini mempunyai masalah tanah dan akses air,” katanya.

Tambah beliau, mereka turut didedahkan dengan kaedah pembajaan menggunakan baja kimia dan baja organik, kawalan serangga perosak menggunakan semburan secara organik, membuat kompos serta membina rak takungan bagi mengatasi masalah ruang yang terhad.

”Kerjasama pelbagai pihak di antara UPM, industri dan komuniti setempat jelas menunjukkan semangat Keluarga Malaysia di Pulau Omadal dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti Kebun Atas Air bagi menghasilkan sayur-sayuran segar sebagai sumber makanan sendiri,” katanya.

Program itu turut melibatkan penduduk setempat dalam kalangan anak-anak Bajau Laut di Sekolah Bajau Laut (ISKUL), kaum wanita Persatuan Wanita Pulau Omadal (WAPO), guru-guru ISKUL dan Borneo Komrad serta para sukarelawan.

Sementara itu, penglibatan Qismir Enterprise dalam membantu menambahkan bahan bacaan di ISKUL dan Borneo Komrad di bawah aktiviti mini perpustakaan turut memberikan keceriaan kepada anak-anak Bajau Laut untuk menguasai ilmu seperti asas membaca, mengira dan menulis. – MalaysiaGazette