Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan belian pada minggu berakhir 19 Ogos 2022 – minggu kelima berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak RM615.5 juta

Ia merupakan kenaikan 36.3 peratus berbanding RM451.7 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, aktiviti belian berlaku pada setiap hari dengan jumlah sebanyak RM120.4 juta pada hari Isnin, Selasa (RM163.9 juta), Rabu (RM153.3 juta) dan Khamis (RM132.7 juta).

Hari Jumaat turut menyaksikan belian oleh pelabur asing tetapi pada jumlah lebih rendah sebanyak RM45.2 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur institusi terus menjadi penjual bersih setiap hari minggu lepas dengan aliran keluar mingguan bersih sebanyak RM675.9 juta.

Hari Selasa menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM193.1 juta.

Pelabur institusi telah menjadi penjual bersih untuk 13 hari berturut-turut sejak minggu berakhir 3 Ogos 2022.

Manakala pelabur runcit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran masuk bersih RM60.4 juta.

Mereka adalah pembeli bersih dari Isnin hingga Rabu tetapi bertukar menjadi penjual bersih pada Khamis dan Jumaat.

MIDF Research berkata, sehingga kini, pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 22 daripada 33 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM7.72 bilion.

Institusi tempatan pula adalah penjual bersih selama 26 daripada 33 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM9.48 bilion.

Pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 21 daripada 33 minggu pada tahun ini.

Setakat ini, mereka telah beli bersih RM1.76 bilion

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan 21.3% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua kelas pelabur-pelabur runcit, pelabur institusi (+20.7%) dan pelabur asing (+11.7%). – MalaysiaGazette