MELAKA – Seorang penjual buah terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini, mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun terhadapnya kerana melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan, tujuh tahun lalu.
Hakim Mazana Sinin menetapkan demikian terhadap tertuduh, Tan Boon Jin,25, mengikut Seksyen 137A Kanun Prosedur Jenayah.
Mahkamah juga menetapkan jaminan RM1,000 bagi bon tingkah laku yang baik dengan seorang penjamin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama individu yang masih bebas didakwa merusuh sehingga mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di Jalan Cheng Baru, di sini, kira-kira jam 9 malam pada 2 September 2015.
Tertuduh yang bekerja di Singapura didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan kerana kesalahan tertuduh yang merusuh menggunakan senjata mendatangkan kegusaran terhadap orang awam.
Peguam, Kent Tan Chiw Teng, merayu hukuman ringan mengambil kira anak guamnya masih muda berusia 17 tahun ketika kejadian selain telah menyesali perbuatan itu.
Anak guamnya juga jelas beliau sedang dalam proses untuk mendapatkan taraf penduduk tetap Singapura dan perlu menyara ibu bapanya yang sudah tua serta mengidap penyakit kronik. – MalaysiaGazette