Ka Siong (tengah) merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Sektor pelabuhan banyak negara termasuk Malaysia terjejas ekoran perang Ukraine-Rusia yang berlaku baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong keadaan yang berlaku ketika ini sudah pasti akan mengganggu kelancaran penghantaran kargo dan menjejaskan aktiviti di pelabuhan dunia dan turut dirasai pelabuhan-pelabuhan di negara ini.

“Walaupun pelabuhan dunia terkesan akibat perang Ukraine-Rusia ini, saya mahu kita mampu menunjukkan prestasi positif.

“Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri khususnya sebagai pelabuhan paling utama di rantau ini dan ia perlu kekal berdaya saing kerana kedudukannya yang strategik serta kecekapan mengendalikan apa juga kontena khususnya untuk transhipment,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia di Pelabuhan Johor hari ini.

Turut hadir Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal dan Pengurus Besar LPJ, Kamaruzaman Munasir.

Ka Siong berkata, pada peringkat kementerian, beliau yakin PTP mampu mengekalkan prestasi tahun lalu dengan mengendalikan 11.2 juta TEU (twenty equivalent units).

Prestasi itu dapat dicapai meskipun terkena tempias disebabkan perang Ukraine-Rusia yang berlarutan ketika ini.

Ia sekali gus membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada 15 pelabuhan tersibuk di dunia, katanya.

“Setakat semalam, pelabuhan itu telah mengendalikan 6.89 juta TEU yang dijangka akan menjangkau tujuh juta TEU pada hujung bulan ini.

“Melihat daripada segi trend, penghantaran kontena meningkat pada empat bulan terakhir disebabkan musim perayaan seperti Krismas, maka kita yakin mampu mencapai prestasi 11.2 juta TEU pada tahun lalu,” katanya .

Pada tahun lalu, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU dengan nilai pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEU pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu sekaligus menempatkan PTP antara 20 pelabuhan terbaik dunia dengan merekodkan pertumbuhan 1.4 juta TEU.

PTP juga telah berjaya mengendalikan lebih 148 juta TEU manakala Pelabuhan Pasir Gudang yang menjadi hab penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar dunia mengendalikan 21 juta TEU. – MalaysiaGazette