rafizi shahrir
Rafizi Ramli (kiri) dan Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Nama Zainab Mohd Salleh yang menjadi kontroversi selepas dipetik oleh Rafizi Ramli dalam isu kapal pesisir tempur (LCS) mengimbas kembali bagaimana Timbalan Presiden PKR itu pernah tersilap mengenal pasti seorang wanita bernama Florence Goh.

Pada 31 Mei 2017 Rafizi yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR terpaksa memohon maaf kerana tersilap selepas mendakwa Florence terlibat dalam pelantikan firma pelobi untuk kerajaan Malaysia.

Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

“Apalah ada pada nama? Biasanya tak menjadi soal besar. Tapi apabila disebut oleh toke hasut, Rafizi Ramli, ia boleh menjadi masalah besar orang yang sama nama.

“Bukan pun pelanduk dua serupa. Nama yang sama. Pada tahun 2017, si penghasut telah menjaja nama Florence Goh dalam pembongkaran isu kes pelobi.

“Hinggakan berlaku kes mencuri surat-surat dari peti surat oleh budak-budak PKR. Tersalah orang pula sehingga perlu Rafizi minta maaf,” kata Shahrir.

Media pada waktu itu melaporkan, Rafizi berkata, beliau mengambil tanggungjawab atas kekeliruan mengenai seorang wanita dinamakan sebagai Florence Goh.

“Saya mengesahkan bahawa (Florence) Goh Siew Boy dari CRT Insights Technologies Sdn Bhd bukanlah Florence Goh yang menjadi pengarah Godfrey Group Ltd yang terlibat di dalam kontrak melobi itu.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan ini dan memohon maaf kepada Goh Siew Boy dan CRT Insights Technologies Sdn Bhd kerana telah menyiarkan nama mereka.

“Saya ada meminta supaya mereka tampil memberikan penjelasan, maka saya hargai penerangan itu bahawa mereka tidak terbabit dan saya tidak teragak-agak memohon maaf kerana mereka tidak terlibat di dalam kes ini,” kata Rafizi.

Sementara itu Shahrir menasihatkan agar Rafizi lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak berulang.

Katanya, jika mahu menjadi kerajaan, Rafizi perlu matang dan tidak gelojoh.

“Sekarang ni, kerana ada peminat Rafizi yang sama gelojoh, terkena pula pada seorang wanita yang tidak kena mengena dengan isu LCS.

“Sampai perlu anak kepada wanita yang bernama sama itu buat kenyataan menafikan. Dulu Florence, sekarang Zainab pula.

“Merapu betul kerana nak menghasut. Matanglah sikit. Kan kata nak jadi Kerajaan. Kena teliti, jangan gelojoh,” kata Shahrir.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, Rafizi akan mendedahkan siapa wanita sebenar yang dimaksudkan dengan ‘Zainab Mohd Salleh’ selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad menafikan bahawa wanita itu isterinya.

Rafizi berkata, Zainab yang beliau maksudkan bukan Ketua Pengarah Kewangan (CFO) Dialog.

“Saya akan tunjukkan hubungan Dr. Latiff, Zainab dan syarikat-syarikat ini esok.

“Kawan-kawan jangan gelabah, yang gelabah ini orang yang sakau duit sahaja,” katanya.

Kenyataan Rafizi sebelum itu menyebabkan, Dialog Group tampil menjelaskan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Setiausaha Syarikat Bersama, Zainab Mohd Salleh bukan pemegang saham Alizes Marine Limited.

Syarikat itu berkata, Zainab merupakan pasangan kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan, Pakar Perunding Ginekologi-Onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC).

Dialog membuat penyataan tegas itu susulan pendedahan dibuat oleh Rafizi yang mendakwa ‘Zainab’ merupakan isteri kedua kepada Dr. Abdul Latiff. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast