Darren bersama rakannya meraikan gol tunggal dan juga gol peribadi ke-10 selepas menewaskan Selangor FC dengan jaringan tunggal.- Gambar kredit MFL.

KUALA LUMPUR – Penyerang PJ City FC, Darren Lok menikmati musim terbaik dengan aksi konsisten selepas berjaya meledak jaringan peribadi ke-10 ketika membantu pasukannya melawan Selangor FC.

PJ City menang dengan keputusan 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu layak dinobatkan selaku antara penyerang tempatan terbaik Liga Malaysia berdasarkan tahap persembahan yang dipamerkan setakat ini.

Darren gembira kerana musim ini banyak menyebelahinya kerana tidak ditimpa sebarang kecederaan serius yang membuka ruang untuknya bermain dalam kebanyakan perlawanan.

“Musim ini menjadi antara detik terbaik saya kerana dapat beraksi lebih kerap dengan tidak banyak ditimpa kecederaan dan mampu menjaringkan sepuluh gol secara keseluruhan (dua gol di Piala FA).

“Biar pun musim ini tidak banyak mendapat bantuan bagi menjaringkan gol tetapi saya dapat memanfaatkan segala peluang yang ada serta mematangkan lagi corak permainan saya.

“Saya mempunyai sasaran berapa jaringan yang mahu dilakukan tetapi saya mahu rahsiakan untuk diri sendiri, maaf saya tidak boleh beritahu buat masa ini,” katanya.

Pemain kelahiran London itu juga berada pada landasan yang betul dan berharap prestasinya dapat diteruskan untuk satu jangka masa yang panjang kerana mahu terus dipanggil dalam skuad kebangsaan terutama menjelang perlawanan persahabatan pada pada September nanti selain Piala Asia dan Piala AFF.

Pada musim lalu, Darren sekadar mampu menjaringkan enam gol dengan tiga gol masing-masing di Liga Super dan TM Piala Malaysia selepas tidak boleh bermain dalam 13 aksi Liga Super ekoran mendapat kecederaan di bahagian fibula.

Darren kini berada di tangga kelima penjaring terbanyak Liga Super dengan 8 gol di belakang Bergson da Silva (17 gol), Fernando Forestieri (12 gol), Caion (11 gol) dan Ronald Ngah (9 gol)

Mengulas mengenai kejayaan PJ City melalui gol tunggalnya pada minit-59, Darren mengkui lega kerana dapat membantu pasukannya menamatkan tekanan selepas melalui 13 perlawanan tanpa menang dalam Liga Super setakat ini.

Dia juga mengharapkan keputusan itu bakal melonjakkan kembali semangat pasukannya dalam memburu kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super memandangkan jurang mata yang tidak jauh dari pasukan yang berada di kedudukan ke-5 hingga 10.

Untuk Darren, tiga mata yang sangat penting kepada pasukannya berjaya dipungut selepas menundukkan pasukan jiran, Selangor serta menamatkan badi kemenangan sejak sekian lama.

“Sebenarnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini kami boleh menang tetapi rezeki tidak memihak kepada kami apabila banyak mencatatkan keputusan seri.

“Musim lalu, kami telah menamatkan saingan di tangga ketujuh dan sudah tentu dari musim ke musim, kami mahu terus memperbaiki kedudukan kami dalam liga dan sasaran kali ini untuk berada di pertengahan liga.

“Dengan berbaki lima perlawanan lagi, saya rasa PJ City masih berpeluang untuk melakar kejutan cuma cabaran musim ini saya lihat lebih sukar kerana pasukan-pasukan lain punyai kualiti pemain yang semakin baik terutama pemain import berbanding kami.

“Kami akan terus mencuba untuk memberikan saingan terbaik dan harap kemenangan ini dapat membangkitkan kembali semangat PJ City kerana masih ada kesempatan untuk mendaki carta liga,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast