Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Sebelum Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan, Datuk Seri Najib Tun Razak membacakan kenyataan untuk rayuan akhir sabitan salah hukuman penjara dan denda atas dakwaan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Bekas Perdana menteri itu berada dalam keadaan tenang walaupun ada kalanya suara terketar mempersoalkan mengapa beliau tidak diberikan masa sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan pasukan peguam bela barunya berhujah membelanya.

Sambil membaca kenyataan berbahasa Inggeris, Najib terlebih dahulu memohon maaf seandainya apa yang bakal diungkapkan olehnya sudah diketahui media.

“Yang Arif, sebelum saya meneruskan beberapa perkara hendak saya perkatakan sebelum ini telah didedahkan kepada media bukan kerana saya ingin membawa rayuan ini di luar mahkamah.

“Sebaliknya itu adalah kenyataan media yang saya letak di hadapan rekod awam sementara menunggu peluang untuk mengadap Mahkamah yang mulia ini,” katanya di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Najib berkata, keadilan terhadap rayuan sabitan dan hukuman terhadapnya telah dinafikan bukan sekali, sebaliknya berkali-kali walaupun beliau mengemukakan hujah-hujah kukuh namun semuanya dipandang sepi.

Ia termasuk permohonan beliau menggunakan khidmat Queen Council (QC) serta menangguhkan prosiding rayuan ke tarikh lain.

“Saya terpaksa lantik peguam-peguam baharu yang mampu membawa perspektif berbeza dalam kes rayuan saya namun semuanya ditolak. Yang Arif telah mengarahkan peguam saya yang tidak bersedia untuk mengemukakan, walaupun pada satu atau dua alasan daripada 90 alasan.

“Tetapi bukankah ini sama dengan mengarahkan peguam yang tidak berkesan untuk mengemukakan perkara yang menjejaskan kebebasan saya? Itu bukanlah salah saya.

“Saya tidak pernah cuba menangguhkan atau melengahkan masa mahkamah, sebaliknya saya terdesak untuk berhujah secara baik dan kukuh. Dengan memberikan masa, pastinya barisan peguam baharu saya dapat lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Najib turut mempersoalkan bagaimana terdapat dakwaan kebocoran dokumen keputusan penghakiman.

“Mahkamah perlu berikan jawapan kepada saya, keluarga saya dan terutamanya kepada negara, negara yang saya berkhidmat dan akan terus berkhidmat,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bagaimana terpaksa membuat permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar kes rayuan itu memandangkan suami Ketua Hakim Negara itu mempunyai pelbagai persepsi negatif terhadap kepimpinan beliau.

Ketika membaca dokumen setebal 19 muka surat itu, Najib melahirkan perasaan terkejut bagaimana kes jenayah berprofil tinggi yang didakwa ke atasnya dalam sejarah perundangan negara apabila peguam dihalang mewakili anak guamnya.

“Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, ia adalah perasaan yang paling teruk untuk dimiliki, untuk menyedari bahawa kekuatan jentera kehakiman disematkan terhadap saya dengan cara yang paling tidak adil,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast