ALOR GAJAH – Seorang peniaga burger maut manakala dua lagi parah dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer 206.7, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi.
Mangsa maut ialah penunggang motosikal, Rosli Yaakob, 39, manakala dua yang parah merupakan kelindan lori warga Bangladesh, Ali Md Rohomot, 39, dan seorang pemandu lori, Muhammad Azmi Md. Noor, 29, dalam kejadian pukul 12.40 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, kemalangan berpunca daripada dua buah lori yang dalam perjalanan dari arah Seremban ke selatan dirempuh sebuah lori dari arah sama.
“Kedua-dua lori berkenaan memperlahankan kenderaan kerana terdapat pembinaan jalan di lorong paling kanan sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah lagi lori dipandu lelaki berusia 29 tahun.
“Akibatnya lori kedua itu mengelongsor ke depan dan melanggar lori dihadapannya menyebabkan pemandu lori berusia 29 tahun itu tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Arshad, kelindan lori kedua kemudian turun bagi memberikan isyarat nahas menggunakan lampu telefon bimbitnya di lorong kecemasan.
“Pada masa sama, penunggang motosikal terbabit merempuh kelindan terbabt sebelum merempuh belakang lori ketiga.
“Kejadian mengakibatkan penunggang motosikal yang bekerja sebagai peniaga meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Tambahnya, pemandu lori ketiga dan kelindan lori kedua yang cedera di bawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette