Suspek lelaki tempatan yang berlagak samseng di lebuh raya NKVE terhadap pasangan suami isteri dalam kejadian Ahad sedang diburu polis untuk membantu siasatan lanjut. Ihsan IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lelaki yang berlagak samseng sehingga mengancam keselamatan pasangan suami isteri di Lebuhraya Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE) petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita itu yang mendakwa seorang lelaki yang yang tidak berpuas hati kerana beliau telah menukar lorong telah memberhentikan  keretanya secara mengejut di hadapan kenderaan pengadu.

“Suspek lelaki itu telah turun dari kenderaannya menghampiri pengadu sebelum memarahi dan memaki-hamun terhadap pengadu serta suaminya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Suspek lelaki tempatan yang berlagak samseng di lebuh raya NKVE terhadap pasangan suami isteri dalam kejadian Ahad sedang diburu polis untuk membantu siasatan lanjut. Ihsan IPD Shah Alam.

Tambah beliau, ketika wanita itu hendak beredar dari lokasi, beliau mendapati suspek membaling objek yang tidak dikenal pasti ke arah keretanya menyebabkan berasa cemas seketika.

Menurut Mohd Iqbal, semasa kejadian wanita tersebut memandu kenderaan bersama suami dari Taman Melawati menuju ke arah Shah Alam dan diasatan mendapati kejadian berlaku berhampiran tol Bukit Raja Selangor pada jam 2.50 petang.

Jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu memandu dengan gopoh di jalan raya atau cuai sehingga membahayakan nyawa manusia.

Kata beliau, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau dengan denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

“Siasatan lanjut mendapati tiada pergaduhan secara fizikal yang berlaku di lokasi kejadian dan polis akan mengambil tindakan selanjutnya bagi mengesan dan merakam percakapan pemilik kenderaan iaitu seorang perempuan, serta mengesan suspek untuk siasatan selanjutnya.

 

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 57 saat menunjukkan sebuah kereta Honda City berhenti di hadapan sebuah kereta.

Seorang lelaki kelihatan menuju ke arah kereta di belakang dan memaki hamun penumpang serta pemandunya selain meminta mereka keluar daripada kereta selepas menyedari perbuatannya sedang dirakam.

Seorang wanita keluar dari kereta hadapan memanggil suspek untuk mententeramkan keadaan.

Mohd Iqbal meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 019-2223361. – MalaysiaGazette