Motosikal yang ditungang mangsa remuk teruk akibat terlibat dalam kemalangan di Jalan Chain Ferry, Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pekerja kilang maut  manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Chain Ferry, di sini, hari ini.

Kejadian jam 6.20 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 18 tahun itu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan rakannya datang dari arah Sungai Nyior menghala ke Bagan Dalam.

Jelasnya, bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak berhenti ketika lampu merah di persimpangan lampu isyarat terbabit sebelum merempuh kereta yang bergerak dari arah Perai menghala ke Penang Sentral.

“Pemandu kereta warga Nigeria yang merupakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam di negeri ini tidak sempat mengelak motosikal terbabit dan hilang kawalan sebelum kereta berkenaan masuk ke arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, penunggang serta pembonceng terpelanting di atas jalan raya dan mengalami cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, mangsa maut dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala rakannya berusia 20 tahun turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas Mohd Radzi. – MalaysiaGazette