Abdul Aziz melancarkan buku Rukun Negara dan Pancasila Ideologi dan Amalan terbitan Penerbit UMP dalam Majlis Makan Malam sempena Wacana Serantau Rukun Negara -Pancasila di Kuantan semalam.

KUANTAN – Buku Rukun Negara dan Pancasila Ideologi dan Amalan dilancarkan dalam Majlis Makan Malam sempena Wacana Serantau Rukun Negara – Pancasila di sini semalam.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, buat pertama kalinya buku itu menggabungkan penulisan penulis UMP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Negeri Yogyakarta (UNY).

“Ia mengandungi 23 buah artikel yang terdiri daripada tujuh artikel penulis UMP, lapan artikel daripada UKM dan lapan artikel UNY.

“Ini merupakan satu usaha untuk memperkasa Rukun Negara, menghormati prinsip dan nilai untuk mencintai negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar Abdul Aziz, majlis pelancaran buku itu turut meraikan hubungan erat dan Universitas Gadjah Mada (UGM) selain dari pihak UKM dan UNY menjayakan program Wacana Serantau yang menampilkan tokoh-tokoh terkenal daripada kedua-dua negara.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin, Pengerusi LPU UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Datuk Kamarudin Md Ali.

“Penganjuran wacana anjuran Institut Tamadun Dan Kajian Strategik (ITKAS) ini juga bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan ketika ini. Program ini diharapkan dapat menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga UMP dan rakyat Malaysia umumnya, “ kata Abd Aziz.

Majlis kesenian turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Persembahan dijayakan oleh Gendang Silat dan tiupan tetuang daripada Kelab Serindit, persembahan muzik kombo Pusat Sukan & Kebudayaan UMP bersama artis jemputan Jamrah Mahat, Mohd Safar Shah Alauddin dan Roslan Madun.

Selain itu, aktivis seni negara serta barisan penari Kencana Pawana, Sekretariat Kebudayaan & Kesenian UMP dan persembahan wakil MUBARAK dan wakil delegasi Indonesia.- MalaysiaGazette