KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengharapkan lebih banyak dasar dan insentif mesra perniagaan yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober ini.
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman turut mengharapkan kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cabaran dan kesusahan semasa majikan dengan menangguhkan pelaksanaan pindaan Akta Pekerjaan kerana ini akan menambah beban kos kepada pemulihan perniagaan pada tempoh yang sangat kritikal ini.
“Pindaan kepada Akta Pekerjaan yang dijadualkan dilaksanakan pada 1 September 2022 yang secara ketara menambah kos menjalankan perniagaan, perlu diperkenalkan secara beransur-ansur dari semasa ke semasa dan tidak perlu diperkenalkan dan dilaksanakan pada masa yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, (MEF) juga mahu kerajaan menyediakan hala tuju dan fokus yang jelas bagi membantu perniagaan dan negara ini untuk terus berkembang walaupun dalam masa tidak menentu dan mencabar.
Syed Hussain turut menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana telah mewujudkan dasar yang betul setakat ini hingga membolehkan Malaysia mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9% pada suku kedua 2022.
Selain itu, katanya, Malaysia juga berjaya mengurangkan pengangguran kepada 3.8%, yang sebenarnya telah kembali ke tahap pra-Covid-19 di bawah 4.0%, pada dasarnya jika mengikut definisi Pertubuhan Buruh Antarabangsa, bermakna negara ini sudah mencapai pekerjaan penuh.
Dalam tempoh sama, Malaysia juga mencatatkan lebihan dagangan melebihi RM2 trilion dan prestasi ini sangat menggalakkan untuk prospek KDNK negara.
Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk hala tuju dan fokus yang jelas agar komuniti perniagaan dan rakyat merealisasikan visi masing-masing, tambah beliau. – MalaysiaGazette