Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) sedang menyiapkan usul untuk meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat tapisan terhadap calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Usul itu akan dikemukakan pada Muktamar Pas Kali ke-68 di Kedah minggu depan.

Menurut Ketua DUPP, Senator Datuk Ahmad Yahaya, Pas mahu semua calon yang bertanding nanti mempunyai rekod bersih, berwibawa dan berintegriti.

Ahmad Yahaya

“Mana-mana senarai nama yang sedang berdepan dengan tuduhan rasuah serta bersalah tidak layak menjadi calon. SPR perlu menolaknya, termasuk orang yang mempertikai Perlembagaan, mengeluarkan ucapan yang mencetuskan permusuhan, kaum dan agama.

“Desakan ini dibuat demi untuk melihat pemimpin Malaysia selepas PRU15 adalah pemimpin yang bersih dan sentiasa memikirkan kebajikan rakyat,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini.

Beliau menyatakan rasa kecewa apabila negara banyak menghabiskan masa dan wang hanya untuk perkara yang tidak diperlukan, malah wartawan pula sibuk dengan kes mahkamah melibatkan pimpinan negara.

Katanya, rakyat pula setiap hari disajikan dengan berita pemimpin korup.

“Kita tidak mahu pimpinan kita sebegitu, kita mahu pemimpin menghabiskan masa mensejahterakan dan menjaga kepentingan rakyat.

“Kita tidak mahu pemimpin yang rakyat pula terpaksa fikirkan dia, sepatutnya pemimpin yang fikirkan rakyat, ini rakyat yang fikirkan dia,” katanya.

Tambah beliau, seruan itu juga akan dibuat kepada parti-parti politik tidak kira parti politik lama atau baharu, masing-masing perlu menampilkan calon terbaik.

Hasil daripada itu katanya, Malaysia berpotensi untuk membina suasana supaya rakyat memilih pemimpin yang terbaik semasa pilihan raya. – MalaysiaGazette