Shahrir Samad Majlis Peguam SPRM LHDN
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad patut letak jawatan atau ambil cuti sehingga kes siasatan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) selesai.

“Kan dah menteri, sifat bertanggungjawab itu harus lagi tinggi,” kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad.

Menurutnya, langkah itu perlu dibuat oleh Abdul Latiff selepas namanya dan Zainab Mohd Salleh disebut dalam Laporan Audit Forensik berkaitan projek LCS yang dalam simpanan Bousted Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) dinyahklasifikasikan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berkaitan perkara itu sebelum ini.

Menurut Shahrir, sama ada Abdul Latiff dan Zainab kahwin atau tak, atau sudah cerai ke, tapi nama pasangan itu sudah disebut dalam laporan audit tersebut.

Lantaran itu, kerajaan perlu menunuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung kes ini.

Menurut laporan itu, Abdul Latiff dan Zainab telah dinamakan sebagai individu yang dikaitkan dengan Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat yang ditandakan atas transaksi mencurigakan dalam urus niaga alat ganti.

Laporan itu juga menyebut Zainab mempunyai lebih banyak peranan berbanding Abdul Latiff.

Walaupun laporan itu tidak spesifik, dipercayai Abdul Latiff di sini merujuk kepada bekas timbalan menteri pertahanan itu.

Zainab dikatakan sebagai pemegang saham dan pengarah Alizes Marine Ltd yang bermastautin di Malta dan Intralogisitics Ltd berdaftar di Labuan, yang memiliki Alizes Marine Labuan dan Sousmarin Armada Sdn Bhd.

Dalam laporna itu, BHIC menyebut ia mengesyaki berlaku penyelewengan serius dalam proses perolehan pelbagai alat ganti oleh Boustead Penang Shipyard.

Kontrak ini telah diberikan oleh Boustead DCNS Naval Corp Sdn Bhd.

Kebanyakan perolehan dibuat melalui Alizes Marine, tetapi terdapat beberapa akaun atas nama Alizes Marine yang dipercayai dicipta untuk menyamar sebagai Alizes Marine France supaya pembayaran boleh disalurkan kepada pihak ketiga.

BDCNS ialah usaha sama antara BHIC dan DCNS, yang ditubuhkan pada 2009 untuk penyelenggaraan kapal dan perkhidmatan bersekutu.

Abdul Latiff adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013 dan Menteri Pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang kini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS, adalah isterinya.

Kenyataan itu dibuat Abdul Latiff selepas namanya didedahkan terlibat dalam ketirisan projek LCS bersama Zainab yang didakwa Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR sebagai isteri kedua menteri itu.

Abd Latiff berkata, beliau ersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu. – MalaysiaGazette