Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda menekup muka kekasihnya dengan bantal hingga mati gara-gara wanita itu mahu memutuskan hubungan cinta mereka.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, Selangor pada Rabu lalu, suspek yang berusia 19 tahun merancang untuk melarikan diri selepas melakukan pembunuhan itu bagaimanapun diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Foong Long berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kematian itu pada jam 9.12 malam daripada seorang wanita.

“Dalam aduan itu pengadu wanita menyatakan bahawa pada jam lebih kurang 7.18 malam semasa kejadian ketika berada di kawasan Bandar Saujana Putra, Jenjarom telah terima panggilan video whatshapp daripada kenalan iaitu seorang lelaki warga tempatan meminta bantuan untuk mengambilnya di kawasan Kampung Pandan, Klang kerana suspek mengakui telah bertindak menekup muka seorang perempuan disyaki kekasihnya warga tempatan berusia 24 tahun dengan menggunakan bantal sehingga tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis yang tiba di lokasi kejadian menemui mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut manakala pemeriksaan tubuh badan tidak menjumpai kesan kecederaan.

Tambah beliau, pegawai kesihatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sementara Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menjalankan pemeriksaan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

Sementara itu, Foong Long berkata, suspek yang cuba melarikan diri ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian pada jam 9.20 malam hari yang sama.

Katanya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

“Semasa tangkapan dibuat, pihak polis berjaya merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian dan Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.

“Suspek telah dihadapkan ke Majistret Mahkamah Klang pagi tadi dan telah meluluskan reman ke atas suspek selama tujuh hari iaitu sehingga 31 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” ujarnya.

Menurut Foong Long, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek yang menyebabkan pemuda itu berang kerana tidak dapat menerima keputusan kekasihnya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette