Datuk Seri Shahidan Kassim. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan hanya akan menerima pelantikan sebagai penaung merangkap Presiden Kuala Lumpur City FC (KL City FC) selepas membuat semakan terhadap pasukan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berterima kasih atas lantikan tersebut seperti yang diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad kelmarin.

“Saya berterima kasih atas pelantikan sebagai penaung merangkap Presiden KL City FC seperti yang diumumkan oleh Presiden KLFA YB Khalid Samad semalam.

“Bagaimanapun saya akan menerima jawatan tersebut setelah saya membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan KL City FC bebas dari sebarang isu.

“Ini bagi memastikan prestasi kelab bola sepak tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, menerusi kenyataan, Khalid yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam mengumumkan Shahidan dilantik sebagai penaung dan Presiden KL City FC yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Shahidan diumum akan bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan bola sepak untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.

Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pelantikan itu akan menjadi bukti perpaduan melalui bola sepak.

“Ini menunjukkan peranan sukan dan bola sepak khususnya merupakan wadah penyatuan iaitu orang yang berbeza fahaman politik seperti saya dan Shahidan boleh bersatu demi kemajuan bola sepak Kuala Lumpur.

“Saya percaya menerusi peranan Shahidan sebagai Presiden KL City FC, kami boleh bersama-sama membawa kelab ke tahap kejayaan lebih tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast