Erling Haaland (kiri), dan Robert Lewandowski bakal bertemu bekas pasukan masing-masing dalam Liga Juara-Juara. Foto Instagram Erling Haaland, Robert Lewandowski

REUTERS – Penyerang baharu Manchester City, Erling Haaland bakal berjumpa kelab lamanya, Borussia Dortmund manakala Robert Lewandowski yang baru berpindah ke Barcelona akan bertemu kelab lamanya, Bayern Munich.

Perkara itu diketahui selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dibuat pada Khamis, semalam.

Pasukan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara 2022/2023. Foto UEFA

Penyandang juara liga terbesar itu, Real Madrid, yang merangkul mahkota Eropah ke-14 selepas menewaskan Liverpool pada perlawanan akhir musim lalu, akan menentang RB Leipzig, Shakhtar Donetsk dan Celtic dalam Kumpulan F.

Juara liga-liga Eropah lima kali, Barcelona dikatakan berdepan ujian sukar apabila ditakdirkan menentang Bayern, Inter Milan dan Viktoria Plzen.

Penyokong juga menantikan kemunculan Lewandowski menentang Bayern, di mana pemain kelahiran Poland itu sebelum ini memenangi lapan kejuaraan liga, tiga Piala Jerman, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab bersama kelab itu.

Sementara itu, Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City diundi dalam Kumpulan G bersama Dortmund, Sevilla dan FC Copenhagen, dan jurulatih Sepanyol mereka, Pep Guardiola berharap kedatangan Haaland dapat memacu usaha kelab itu untuk merangkul mahkota Piala Eropah yang pertama.

Paris St Germain yang mempunyai tiga penyerang terkemuka, Neymar, Messi, dan Mbappe bakal menyambung usaha memburu trofi sulung Liga Juara-Juara dalam Kumpulan H bersama Juventus, Benfica dan Maccabi Haifa.

Naib juara musim lalu Liverpool pula bakal bertemu Ajax Amsterdam, Napoli dan Rangers dalam Kumpulan A.

Chelsea, pemenang 2020-21, akan bertemu juara liga Itali- Seria A, AC Milan, dalam Kumpulan E bersama RB Salzburg dan Dinamo Zagreb.

Pemenang Liga Europa Eintracht Frankfurt diumumkan berentap dengan Tottenham Hotspur, Sporting Lisbon dan Olympique Marseille dalam Kumpulan D.

Perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara akan bermula pada 6 September depan dan berakhir menjelang hari pertama pusingan akhir Piala Dunia tahun ini yang berlangsung di Qatar mulai 20 November.

Peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dilaporkan bermula pada bulan Februari 2023, dengan perlawanan akhir berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk Istanbul pada bulan Jun tahun depan.

(https://www.reuters.com/lifestyle/sports/man-citys-haaland-barcas-lewandowski-meet-former-clubs-champions-league-2022-08-25/)