Jalan TAR akan ditutup kepada akses kenderaan pada setiap Ahad bermula 28 Ogos ini. Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dari persimpangan Jalan Esfahan ke persimpangan Jalan Melayu kepada akses semua kenderaan bermula Ahad ini.

Langkah penutupan jalan itu adalah bagi menjadikannya ia salah satu lokasi bebas kenderaan dan mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah pusat bandar sekaligus ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon.

“Penutupan Jalan TAR ini akan dilaksanakan pada setiap hari Ahad bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Sebagai langkah percubaan inisiatif baharu ini, penutupan Jalan TAR akan dimulakan pada 28 Ogos 2022 (Ahad) ini mengikut waktu yang ditetapkan iaitu 6 pagi hingga 12 tengah malam,” kata Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam kenyataan hari ini.

Tambah DBKL, pelbagai program pengisian turut dirancang untuk dilaksanakan sepanjang penutupan jalan tersebut.

Antara pengisian program yang disusun untuk dilaksanakan adalah persembahan muzik jalanan (buskers), persembahan seni kreatif, seni kraftangan dan sukan tradisional seperti dam haji.

“Justeru, lokasi sekitar Jalan TAR juga akan dihiasi dengan hiasan perabot jalanan dan fasiliti serta ruang untuk pengunjung mengambil peluang memanfaatkan sepenuhnya masa dengan bersantai, berehat dan mengambil gambar.

“Pengunjung yang ingin ke lokasi Jalan TAR dan sekitarnya sepanjang waktu pelaksanaan penutupan Jalan TAR itu dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalulintas,” tegasnya.-MalaysiaGazette