Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang demi seorang pemimpin UMNO tampil menafikan laporan media bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi kata dua dalam mesyuarat biro politik parti yang diadakan pada Rabu lalu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, tidak timbul dakwaan itu kerana mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjalan lancar.

“Saya ingin maklumkan bahawa tidak berbangkit sama sekali dlm Mesy Biro Politik memberi kata dua kpd PM @IsmailSabri60.

“Mesy mlm (Mesyuarat malam) Rabu 24/8 itu (yg saya juga hadiri) telah berjalan dgn baik walau suasana duka menyelubungi sbb keputusan kes DS @NajibRazak,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.

Ahmad Maslan merupakan pemimpin UMNO ketiga yang mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan itu, hari ini.

Sebelum itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, laporan tersebut hanya cerita sensasi semata-mata dan palsu.

Jelasnya, tiada pihak yang meninggikan suara terhadap Ismail Sabri, khususnya berkaitan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya bakal mengambil tindakan untuk menyaman Malaysiakini dan Awani berhubung artikel yang disiarkan oleh kedua-dua agensi media terbabit. – MalaysiaGazette