Dr Muhamad Akmal (tengah) menyaksikan MoU antara Johari (kiri) dan Dr Nordina.

MELAKA – Melaka akan menjadi negeri pertama memperkenalkan teknologi dari Turki melalui pembedahan metabolik untuk merawat pesakit diabetes di negara ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, teknologi terbaharu itu sudah pun digunakan di beberapa negara maju yang terbukti berkesan menyembuhkan masalah kencing manis selain mengurangkan berat badan yang sering dihadapi pesakit diabetes kelas dua.

Menurutnya, usaha itu juga dilihat akan memperkasakan lagi sektor pelancongan kesihatan yang sememangnya terkenal di Melaka khususnya dalam kalangan pesakit daripada Indonesia.

“Teknologi pembedahan metabolik dari Turki ini belum ada lagi di Malaysia, jadi kerajaan negeri amat berbesar hati menjadi perintis usaha ini yang akan merancakkan lagi sektor pelancongan kesihatan negeri.

“Kita ada Hospital Pakar Putra dan beberapa hospital swasta lain yang mana mungkin para doktor boleh adakan kerjasama melalui latihan teknologi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Star Medik dan Persatuan Diabetes Malaysia Melaka di sini petang ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Star Medik, Johari Abu Kasim dan Presiden Persatuan Diabetes Malaysia Melaka, Dr Nordina Abdul Latif.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, inisiatif kedua-dua pihak itu amat baik terutamanya bagi mengurangkan masalah kegemukan yang menyumbang 51 peratus kepada pesakit di negara ini.

“Usaha ini bertepatan dengan kemajuan teknologi perubatan yang perlu mengikut peredaran zaman apabila pesakit diabetes kelas dua ini tidak perlu lagi mengambil insulin selepas pembedahan metabolik ini.

“Pesakit juga dapat mengawal masalah mereka dan tidak perlu lagi bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan selepas itu,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast