Foto: PDRM

KANGAR – Seorang lelaki maut dan empat rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam laut di Jalan Persiaran Pantai Kuala Perlis-Sungai Baru, Simpang Empat di sini malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dalam kejadian pada 11 malam itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu menuju ke arah Sungai Baru sebelum terbabas di kiri jalan dan melanggar benteng batu pemecah ombak sebelum terjunam ke dalam laut.

“Seorang penumpang yang berada di bahagian hadapan dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Mahamad Shafie, 25, tercampak keluar dari kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan empat lagi mangsa berusia antara 17 hingga 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan brek dan tidak melibatkan kenderaan lain…ketika kejadian, hujan turun dan keadaan jalan basah,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast