Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Selesai taklimat khas Presiden, UMNO malam ini mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia (WTCKL).

Kepimpinan MKT yang hadir antaranya Datuk Fathul Bari, Datuk Dira Abu Zahar, Datuk Seri Bung Mokhtar serta Ketua Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kira-kira jam 8 malam tadi.

Ia dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan naib-naib presiden UMNO.

Difahamkan, Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hadir dalam mesyuarat itu bersama-sama dua lagi naib iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mesyuarat MKT malam ini rata-ratanya akan membincangkan empat mandat utama yang disebut Ahmad Zahid dalam sesi taklimat khas siang tadi.

Antaranya menyatakan tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta memberikan sokongan terhadap kempen petisyen pengampunan diraja terhadap beliau.

Selain itu, UMNO turut bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) pada bila-bila masa dan berharap Ismail Sabri tidak akan membiarkan harapan Barisan Nasional (BN) untuk menang PRU15 pudar sekiranya tarikh pilihan raya itu dilengah-lengahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast