KUALA LUMPUR – Warkah dari penjara yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru lebih tiga juta ahli UMNO untuk bersama-sama beliau menentang penganiayaan dan ketidakadilan undang-undang.
Dalam warkah yang dibacakan oleh anaknya, Nooryana Najwa pada majlis Amanat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka hari ini, Najib berkata, jika beliau sebagai bekas perdana menteri boleh diperlakukan begitu apatah lagi rakyat biasa.
“Bila saya dihempap dan ditekan dengan orang yang begitu yakin dan licik saya tiada pilihan melainkan memohon kepada Presiden UMNO dan semua ahli UMNO untuk bersuara dan bertindak.
“Kalau perkara ini boleh berlaku kepada saya sebagai bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri ia boleh berlaku kepada sesiapa pun.
“Memilih untuk berdiam diri bererti mereka yang berniat jahat kepada UMNO akan berjaya. Pada saya UMNO perlu berjuang menentang kezaliman dan ketidakadilan.
“Menitis air mata tak ubah keadaan hanya tindakan berani, terelaras dan bijak boleh membawa kejayaan,” kata Najib.
Najib turut menyatakan rasa kesal tindakan mahkamah menolak hasil siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Menurut Najib, hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diberikan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Pihak peguam saya telah meminta dibenarkan mengemuka bukti tambahan ini didengari. Sekali lagi permohonan saya ditolak.
“Kenapa tidak mahu diketahui siasatan SPRM sekiranya Hakim Nazlan telah terlibat secara mendalam dalam urusan Maybank Investment dengan 1MDB dan SRC maka beliau perlulah menarik diri daripada menjadi hakim. Kerana Hakim Nazlan sudah berada dalam konflik.
“Sesungguhnya mahkamah perlu mencari kebenaran bukan mencari alasan tidak hendak berbuat demikian.
“Saya yakin jika bukti tambahan dibenarkan kes SRC Interational akan jadi berlainan dari apa yang berlaku. Kemungkinan perbicaraan semula atau kesilapan perbicaraan boleh menjadi keputusan mahkamah,” kata Najib.
Najib juga menegaskan, hak beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.
Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, kata Najib seorang perayu tidak diwakili oleh peguam.
Sementara itu, Najib berkata, antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau tetap memilih UMNO walaupun diberitahu masa depan politik akan sukar.
“Di malam yang syahdu ini setelah pintu kamar saya di Penjara Kajang dikunci oleh pengawal, saya tergerak hati untuk menulis warkah ini kepada seluruh pimpinan UMNO yang hadir di perjumpaan ini dan penyokong di luar.
“Apabila BN tewas dalam PRU-14 saya beriltizam untuk terus berjuang meskipun ada yang telah mengambarkan UMNO sebagai kapal yang sudah karam dan kata-kata nista lain.
“Ada yang beri pandangan kalau nak hidup dalam politik kita kena pilih untuk menyokong Tun Mahathir ataupun Anwar. Sebaliknya saya memilih untuk menyokong UMNO sebab saya terlalu kasih kepada parti,” kata Najib.-MalaysiaGazette
umno ikut jejak pkr 1998 lawan tetap lawan dalam versi Keadilan 2 dgn slogan Malu apa Bossku