ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatannya terhadap kebocoran dokumen keputusan penghakiman perbicaraan membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada pihak Mahkamah Tinggi semalam.

Katanya, pada jam lebih kurang pukul 5.56 petang, polis telah menerima aduan daripada seorang wanita warga tempatan berumur 42 tahun yang merupakan Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan) berkenaan insiden pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan Rosmah melalui blog Malaysia Today.

“Siasatan  mendapati kejadian tersebut berlaku pada Jumaat jam lebih kurang 11.29 pagi yang mana semasa pengadu berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang merupakan dokumen deraf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Dokumen tersebut merupakan dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim dan menurut pengadu dokumen tersebut akan dipinda berdasarkan kajian serta bacaan dan ia bukan satu keputusan penghakiman,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Eng Lai, hasil semakan polis mendapati terdapat satu artikel tular yang telah dimuat naik di portal Malaysia Today bertajuk “Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022” bertarikh 26 Ogos 2022 yang diterbit oleh Raja Petra Kamarudin seperti mana dipautan berikut https://www.malaysia-today.net/2022/08/26/download-or-view-the-71-page-judgement-and-guilty-verdict-on-rosmah-mansor-here/ dan https://www.malaysia today.net/2022/08/26/ rosmah-mansor-will-be-pronounced-guilty-on-1st-september-2022/.

Laporan media tersebut mendakwa keputusan mahkamah mendapati Rosmah yang juga isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah telah pun disediakan.

” Bagaimanapun, pengadu dapati dokumen tersebut telah dipinda daripada dokumen asal,” katanya.

Polis sedang menyiasat kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 ( kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222,” tegasnya. – MalaysiaGazette