KITA sering mendengar ramai orang mempunyai gusi berdarah sama ada semasa memberus gigi atau dalam keadaan biasa. Ramai orang selalu mengabaikan masalah gusi berdarah ini. Kebanyakannya akan memberus gigi seperti biasa dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa seperti makan, minum, memberus gigi dan rutin harian dalam kehidupan tanpa ingin mengambil tahu tentang masalah gusi yang dialaminya. Umum mengatakan penyakit gusi tidak seserius karies gigi kerana ia jarang menyebabkan kesakitan yang teramat sangat walhal ia adalah antara penyakit yang telah dan sedang berleluasa di kalangan rakyat Malaysia.
Kajian ‘National Oral Health Survey of Adults’, NOHSA 2000, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kesihatan pergigian 9 dari 10 orang dewasa di Malaysia terjejas dengan pelbagai peringkat penyakit gusi. NOHSA 2010 pula melaporkan 94% populasi terjejas dengan penyakit ini, dengan corak yang masih sama seperti 20 tahun sebelumnya, iaitu dengan 92.8% (NOHSA 1990) dan 90.2% (NOHSA 2000). Tetapi tahukah anda bahawa penyakit gusi boleh menyebabkan kehilangan gigi dan juga komplikasi lain yang serius?
Penyakit gusi sebenarnya adalah keradangan pada gusi dan tulang penyokong gigi. Pada peringkat awal, ia dipanggil ‘Gingivitis’ dengan gejala awal seperti gusi merah, bengkak dan mudah berdarah terutamanya semasa memberus gigi. Anda mungkin tidak merasa apa-apa kesakitan atau hanya sedikit tidak selesa sahaja pada peringkat ini. Gingivitis ini adalah satu proses yang berbalik, gusi boleh menjadi sihat semula selepas dirawat atau puncanya dihilangkan. Dalam peringkat yang lebih serius iaitu periodontitis, gejala keradangan gusi melibatkan tisu gusi dan tulang penyokong gigi yang mana kesan keradangan tisu gusi yang tidak dirawat telah merebak kepada tulang penyokong gusi akibat pembentukan poket gusi (jarak antara gusi dan gigi semakin besar). Keradangan berterusan menyusutkan gusi dan tulang penyokong gigi serta akhirnya mengakibatkan risiko kehilangan gigi.
Penyebab utama penyakit gusi ini adalah plak. Ia merupakan lapisan biofilem yang mengandungi berjuta bakteria, terbentuk dari sisa makanan yang tidak dibersihkan bagi suatu tempoh masa. Sepertimana kesan plak kepada gigi, ia bertindak terhadap gusi dengan adanya beberapa faktor risiko samada faktor setempat mahupun sistemik. Faktor setempat mengikut individu biasanya gusi lebih berisiko terhadap penyakit gusi dengan kehadiran kalkulus atau lebih dikenali dengan karang gigi atau tartar iaitu plak yang telah keras dan tidak dapat dibersihkan dengan memberus gigi. Kehadiran karies gigi terutamanya di kawasan yang hampir dengan gusi serta pemakaian aplian gigi seperti gigi palsu dan pendakap gigi juga meningkatkan risiko penyakit gusi. Selain itu, keadaan mulut yang kering bagi sesetengah individu boleh menyumbang kepada penyakit gusi sekiranya kebersihan mulut tidak dijaga dengan baik.
Faktor-faktor ini dilihat menyebabkan limitasi kepada individu tersebut untuk membersihkan gigi dan gusi dengan baik. Jika dilihat dari segi sudut sistemik pula, individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu seperti diabetes, atau dengan pengambilan ubatan yang berpanjangan seperti sawan dan hipertensi, serta perubahan hormon seperti pada wanita yang mengandung, dan juga tabiat merokok serta tekanan hidup juga boleh meningkatkan risiko terjadinya penyakit gusi sekiranya kebersihan mulut tidak dititikberatkan. Faktor-faktor seperti ini selalunya tidak dapat dikawal oleh individu dalam mencegah penyakit gusi kerana ia bergantung kepada tahap kesihatan badan individu itu sendiri untuk melawan penyakit.
Antara tanda dan gejala yang mungkin anda alami sekiranya anda ada penyakit gusi di peringkat awal adalah pendarahan gusi semasa memberus gigi atau ketika makan, gusi merah atau bengkak dan rasa tidak selesa di bahagian gusi tertentu tetapi anda masih boleh bertahan. Pada ketika ini anda mungkin tidak memerlukan ubat tahan sakit bagi menghilangkan ketidakselesaan itu. Pada peringkat yang lebih teruk, gigi mungkin terasa longgar, gigi beralih sedikit atau menjarak, deria rasa yang teruk atau bau mulut yang busuk, gusi susut atau gigi dilihat memanjang dan biasanya disusuli dengan rasa berdenyut yang konsisten di bahagian gusi dan gigi.
Penyakit gusi pada awalnya tidak menyakitkan dan ramai pesakit tidak sedar mereka mempunyai penyakit gusi sehinggalah diberitahu oleh doktor gigi. Terdapat juga ketidakselesaan gusi sementara yang boleh terjadi semasa menstruasi atau semasa
mengandung. Bagi sesetengah peringkat penyakit gusi, anda boleh menyedari kehadiran penyakit gusi ini apabila nafas mula berbau, gusi merah dan berdarah dengan jelas dan boleh menjejaskan penampilan. Apabila gusi dan tulang telah susut, gigi yang longgar sudah tidak dapat dirawat dan risiko kehilangan gigi adalah sangat tinggi. Satu kajian melaporkan sebanyak 18.2% daripada populasi rakyat Malaysia (dewasa) memerlukan rawatan gusi yang kompleks pada tahun 2010, berbanding hanya 6.0% dan 5.5% pada tahun 1990 dan 2000.
Ini menunjukkan penyakit gusi memerlukan rawatan yang lebih kompleks sekiranya tidak dikesan dan dirawat lebih awal. Sekiranya penyakit gusi anda dikesan lebih awal, anda boleh dirawat dengan pencucian gigi dan boleh juga dirujuk kepada pakar untuk rawatan gusi yang ekstensif sehingga tanda dan gejala hilang satu persatu dan keadaan gusi kembali sihat. Namun ia memerlukan motivasi dan kesabaran yang tinggi kerana masa penyembuhan gusi yang lama. Semestinya mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Bagaimana anda boleh mencegah penyakit gusi ini? Pastikan anda tahu bagaimana penjagaan kesihatan mulut yang baik dan praktikkan setiap masa.
Nasihat kepada anak-anak untuk memberus gigi dua kali sehari bukanlah retorik yang hanya digunakan kepada anak-anak kecil, tetapi ianya sangat penting untuk diamalkan secara konsisten selagi ada gigi untuk dijaga. Tambah baik penjagaan mulut
anda dengan flos gigi berkala dan berkumur mulut sekiranya perlu. Makan makanan seimbang dan hadkan pengambilan gula. Jika anda mempunyai masalah kesihatan, jumpa doktor anda, patuhi temujanji dan ikuti nasihat yang diberi. Jangan merokok dan jumpa doktor gigi anda untuk pemeriksaan gigi berkala.
Pada sudut pandangan Islam, Allah SWT menganjurkan umatnya untuk selalu bertawakal, termasuk dalam hal kesembuhan atas suatu penyakit. Seperti Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud “Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan akan menurunkan pula ubat untuk penyakit tersebut.” (HR Bukhari). Hadith ini menunjukkan bahawa pentingnya kita berusaha dalam mencari mencari kesembuhan serta bertawakal kepada Allah SWT setelah berusaha merawat penyakit yang ada. Marilah kita berjumpa doktor gigi di klinik pergigian yang berhampiran bagi mengesan dan merawat gusi yang bermasalah.
Oleh:
Dr. Mardziah Mohamad
Pegawai Pergigian, Klinik Pergigian Dungun, Terengganu
Prof Madya Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Pergigian USIM,
Penasihat Dental PAPISMA