SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri meluahkan rasa gembiranya apabila dapat bertemu warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) hari ini.
Beliau turut mengakui sudah lama tidak berasa seronok apatah lagi berdepan pelbagai masalah sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun beliau memberitahu, masalah itu telah hilang apabila bersua muka dengan warga Kemas itu.
“Sesungguh hari ini pasti amat mengembirakan saya, sebenarnya saya sudah lama tak seronok macam hari ini, macam-macam masalah yang timbul.
“Tapi hari ini hilang semua masalah semua masalah yang timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat di MAEPS di sini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Semalam ketika Taklimat Khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti itu diboo apabila namanya disebut beberapa kali di hadapan lebih 2,000 ahli yang hadir.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, beliau sudah lama merindui untuk bersama-sama warga Kemas kerana pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar agak lama.
“Bersama warga kemas yang saya kira merupakan barisan hadapan dalam menyokong segala yang dilakukan oleh kerajaan.
“Cuma dari segi sejarahnya satu ketika Kemas hilang dari pandangan mata masyarakat, kita tahu kenapa, ada orang diberi amaran pilihan antara dua hendak berkemas keluar atau hendak tinggal dalam Kemas,” katanya. – MalaysiaGazette