Penduduk giat melakukan kerja-kerja pemasangan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Blok 36 Flat Sri Melaka, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 28 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Tiga hari menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan, Blok 36 Flat Sri Melaka yang terletak di Cheras kelihatan meriah dihiasi dengan bendera kebangsaan.

Dari jauh sudah terlihat bendera dipacakkan di setiap penjuru dan dinding blok berkenaan.

Semangat patriotik komuniti blok berkenaan ternyata utuh meskipun penghuninya dalam kalangan pelbagai latar belakang.

Ketua blok tersebut, Habib Taha, 62, berkata, penduduk blok berkenaan telah mula membuat persiapan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini sejak sebulan lalu.

Katanya, semangat patriotik setiap penghuninya menyatukan penduduk yang berbeza ideologi dan umur untuk bersama-sama memastikan blok tersebut meriah dengan bendera negeri-negeri dan bendera kebangsaan.

“Blok ini paling banyak pasang bendera Malaysia sebab kerjasama penduduk blok. Saya sangat gembira berterima kasih dengan kerjasama komuniti blok ini.

Habib Taha

“Walaupun kami berbeza ideologi tapi kami adalah satu keluarga, tidak kira sokong parti apa kami tetap satu keluarga. Kami buat persiapan pasang bendera bermula sebulan yang lalu,  buat sikit-sikit sebab masing-masing ada kerja. Tetapi menjelang hari kemuncak persiapan kami semakin rancak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, semangat dalam kalangan penghuni blok berkenaan tidak hanya kerana pertandingan blok tercantik sahaja, tapi kerana bulan kemerdekaan mengingatkan setiap penduduk di situ tentang tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Kami tidak buat hanya untuk pertandingan tapi sebab semangat patriotik memeriahkan blok ini, sekiranya tidak ada pertandingan blok lain macam kurang meriah,” tambahnya.

Habib berharap semangat patriotik yang ditunjukkan oleh penghuni di sini dihayati oleh generasi muda supaya rasa cinta kepada tanah air tidak terhakis.

Flat Sri Melaka. Cheras ceria dengan Jalur Gemilang yang dipasang bersama-sama penduduk di situ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette. Foto MUHD NA’IM, 28 OGOS 2022.

Dia sedih sedih apabila melihat generasi muda semakin tidak menghargai bulan kemerdekaan.

Warga emas itu berkata, kemerdekaan negara dibayar dengan perjuangan yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit.

“Saya harap pemuda-pemudi negara ingat balik perjuangan orang dulu untuk mempertahankan negara memerdekakan negara bukan sahaja tumpah air mata tapi darah pun tumpah.

“Jangan pandang depan hingga tidak tengok belakang langsung, kena ingat jasa orang dulu-dulu berjuang sampai kaki dipotong,” tambahnya.

Teeban Raj

Salah seorang penduduk blok itu yang mewakili anak muda, Teeban Raj, 33, berkata, rakyat negara ini perlu bersemangat menyambut Hari Kemerdekaan, pada Rabu ini selepas lebih kurang dua tahun tidak dapat meraikannya secara seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.

Meskipun negara masih belum bebas daripada Covid-19, namun setiap rakyat mempunyai cara dan kreativiti sendiri untuk menterjemahkan semangat cintakan tanah air.

“Bagi saya perpaduan dalam kalangan rakyat sekarang masih utuh masih boleh makan satu meja, bersembang sesama kita.

“Saya harap sambutan kemerdekaan dalam negara kita semakin meriah sebab dua tahun sewaktu PKP tidak ada sambutan meriah, tidak ke Dataran Merdeka,” katanya lagi.

Teeban yang telah tinggal di Blok 36, Flat Sri Melaka selama 33 tahun tidak pernah sekali  disisihkan hanya kerana perbezaan kaum.

Sebaliknya, dia selesa bergaul dengan jiran-jiran dan berasa selamat tinggal di situ kerana semua penghuni memelihara perpaduan.

“Di sini tidak membezakan kaum, kami macam satu keluarga. Sebagai rakyat Malaysia kita kena bersatu padu tidak boleh berpecah kerana perbezaan kaum. Kita di Malaysia memang terdiri pelbagai kaum,” katanya.

Lee Tong Pin

Sementara itu, seorang lagi warga emas di blok tersebut, Lee Tong Pin, 79, berharap negara akan sentiasa aman dan damai.

Pesara ini juga mendoakan agar Malaysia maju dalam pelbagai aspek khususnya ekonomi supaya rakyat tidak dibelenggu dengan kenaikan kos sara hidup.

“Sebagai warga emas, saya harap rakyat negara ini tidak susah untuk mencari rezeki, sumber pendapatan mudah. Tidaklah sukar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast