Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin ketika sesi soal jawap pada Slot Khas Tanya DRJ sempena Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat di PPD Hulu Langat, Kajang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 28 OGOS 2022

KAJANG – Takwim persekolahan bagi 2023 yang dijadual bermula pada bulan Mac tahun depan kekal.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketetapan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Antaranya berlakunya banjir pada Disember yang dikhuatiri menyukarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di negeri-negeri Pantai Timur membuat persediaan menghadapi peperiksaan susulan musim Monsun Timur Laut.

“Kita lihat cabaran paling besar dihadapi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk menguruskan calon SPM waktu banjir malah ia lebih sukar berbanding ketika Covid-19.

“Apabila calon datang lewat maka ia akan menimbulkan perkara teknikal dan menyukarkan pelaksanaan peperiksaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sempena Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, hari ini.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu memastikan calon lepas SPM mempunyai tempoh masa yang sesuai bagi mereka menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

“Kita mahu pastikan tempoh masa anak (calon SPM) tamat SPM tidak terlalu jauh dengan tempoh masa mereka menyambung pengajian supaya momentum untuk belajar masih ada,” katanya lagi.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan kalendar akademik bagi sesi persekolahan 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 hingga 11 dan 12 Mac 2023 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast