Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan 10 bulan meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seksyen 17, Shah Alam Selangor pada 19 Ogos lalu.

Bayi tersebut didapati mempunyai kesan lebam di dahi dan disyaki ada pendarahan pada otaknya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan tragedi itu berkata, ibu bapa mangsa telah bergegas ke rumah pengasuh terbabit selepas menerima panggilan bahawa anak mereka tidak sedarkan diri sekitar jam lebih kurang 4 petang.

“Mangsa baru berusia 10 bulan itu dikejarkan ke di Hospital Salam, Seksyen 19 sebelum pemeriksaan lanjut pegawai perubatan mendapati terdapat kesan lebam di dahi dan disyaki ada pendarahan di otak bayi itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 22 Ogos lalu di hospital.

Ekoran kematian anaknya, bapa mangsa, 33, membuat laporan polis pada hari sama kejadian pada jam 8 malam.

Mohd Iqbal berkata, kejadian kematian bayi itu telah tular di media sosial selepas seorang pengguna Facebook bernama See Kay yang dipercayai bapa mangsa berkenaan memuat naik satu hantaran semalam menceritakan kronologi kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu.

Mohd Iqbal menambah, polis telah menyiasat pengasuh bayi tersebut, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.

Pengasuh itu sedang mengandung lima bulan, selain mengasuh lapan kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga empat tahun di kediamannya secara sendirian.

“Setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan sementara siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis dalam kejadian ini,” katanya.

Mayat mangsa telah dibedah siasat oleh forensik hospital berkenaan pada 23 Ogos lalu dan polis masih menunggu keputusan prosedur tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette