KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan beliau berada dalam keadaan sihat, baik dan tenang.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau diberitahu oleh anaknya, Nooryana Najwa atau Gina ramai yang bertanya tentang khabar dan keadaannya.
Najib berkata, beliau berpeluang berjumpa peguam dan keluarganya mengikut masa yang dibenarkan.
Pada kesempatan itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, dia turut bertanya mengenai perkembangan isu-isu semasa sambil berbincang mengenai urusan mahkamah.
“Saya juga banyak menggunakan masa saya untuk catit pendapat saya dan serahkan kepada peguam atau keluarga saya untuk dikongsi dengan semua.
“Mungkin akan ada kelewatan sedikit tetapi apa dayanya. Inilah sahaja yang saya dapat buat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Najib menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau dalam kes SRC International. – MalaysiaGazette