KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjangkakan tekanan semakin tinggi untuk mereka mencipta lebih banyak kejayaan selepas melakar sejarah menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, semalam.
Aaron berkata, mereka sememangnya menyedari bahawa pencapaian itu membuka mata banyak pihak terutama pihak lawan yang pastinya sedang merangka strategi untuk menyekat kemaraan gandingan Malaysia itu.
“Lepas ini akan lebih sukar, apabila menjadi juara semua pihak akan mula menganalisa permainan anda, kami harus lebih bersedia bagi menghadapi cabaran dari pihak lawan, terutama beregu yang sedang meningkat naik, yang sedang cuba menewaskan anda.
Aaron-Wooi Yik menumpaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14, untuk menamatkan penantian 45 tahun Malaysia meraih gelaran di kejohanan dunia, sekali gus menjadi wakil negara pertama yang memenangi pertandingan berprestij itu.
Dalam pada itu, Aaron berkata kejayaan memecahkan ‘badi’ terkandas di separuh akhir sebanyak enam kali tahun ini dengan mengalahkan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, memberi petanda bahawa tuah sememangnya milik mereka kali ini.
“Tuhan nak bagi kami rasa sakit dahulu, namun akhirnya membuka jalan bagi kami untuk menang gelaran pertama di Kejohanan Badminton Dunia,” katanya.
Sejak digandingkan kali pertama pada 2017, Aaron-Wooi Yik belum pernah meraih sebarang gelaran individu sebelum mencipta sensasi melakukannya pada kejohanan dunia di Jepun, semalam.
Menurut Wooi Yik, beliau tidak akan lupa saat-saat sukar yang diharungi mereka sebelum dimahkotakan sebagai juara dunia baharu di negara matahari terbit itu.
“Aksi di Sukan Komanwel tempoh hari di mana kami tewas di separuh akhir beri pengajaran berguna untuk bangkit dan kembali fokus ketika latihan, sehingga membuatkan kami dapat bermain bagus di Kejohanan Dunia,” katanya.
Aaron-Wooi Yik gagal merangkul emas di Birmingham selepas tewas mengejut kepada pasangan tuan rumah, Ben Lane-Sean Vendy, 21-18, 17-21, 4-21 di peringkat separuh akhir.
Katanya, kejayaan itu didedikasikan buat Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky dan pembantu jurulatih Tan Bin Shen, yang tidak putus-putus memberi dorongan ketika menemani mereka di sisi gelanggang, sekali gus membantu mereka kekal fokus. – BERNAMA