Ahmad Zulqarnain Onn (tengah) bersama 25 penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR – Seramai 25 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2021 menerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Salah seorang penerima anugerah biasiswa itu, rah Irdina Noor Azman yang berasal dari Miri, Sarawak berkata, dia memohon Biasiswa Luar Negara PNB kerana percaya ia menawarkan peluang terbaik untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi.

”Saya berharap akan dapat menyumbang semula kepada PNB sebaik tamat pengajian,” menurut Sarah Irdina.

Bagi Jad Alfa Wafiy Jamree dari Cheras, Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB merupakan pilihan pertamanya kerana dia melihat tawaran tersebut sebagai platform terbaik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

”Tawaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB adalah peluang saya untuk membalas budi mereka yang telah banyak membantu dan menaruh harapan kepada kemampuan saya. Saya gembira kerana dapat membanggakan kedua ibu bapa saya,” ujarnya.

Manakala Megat Ahmad Shafeeq Megat Ahmad Shariman, dari Ipoh pula berkata, penerimaan anugerah ini adalah peluang beliau untuk mendapatkan pendidikan tinggi berkualiti dan mencapai matlamatnya.

”Reputasi PNB sebagai sebuah institusi pelaburan yang terkenal adalah pendorong utama saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi dan kewangan. Saya berhasrat untuk berkhidmat kepada PNB sekembalinya saya kelak dan membantu syarikat mencapai mandatnya untuk memperkayakan kehidupan Bumiputera dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.

Berucap di majlis penyampaian surat tawaran tersebut, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn mengucapkan tahniah kepada para penerima kerana mempunyai keazaman dan kesungguhan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran.

Menurut beliau, penerima Biasiswa Luar Negara PNB tahun ini mewakili kelompok pelajar yang paling berjaya di Malaysia.

”Penerima Biasiswa Luar Negara PNB akan menjadi pemimpin masa depan PNB. Program biasiswa kami memainkan peranan yang penting ke arah menyumbang kepada pembangunan modal insan dan bakat dalam PNB,” tambahnya.

Sehingga kini, PNB telah memberi biasiswa kepada lebih 450 anak muda Malaysia yang layak sejak pelancaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB pada 1996.

Kesemua 25 penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB, akan menjalani program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM).

Setelah berjaya menamatkan A-Level, mereka boleh memilih untuk melanjutkan ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang seperti perakaunan, kewangan, undang-undang, matematik, sains aktuari, sains komputer dan kejuruteraan. – MalaysiaGazette