KUALA LUMPUR – “Perjuangan membela rakyat bukan klise semata-mata tetapi kerana perasaan saya yang dapat merasakan kesusahan itu”.
Begitu luahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemu bual dalam Program 3 Pagi Era yang disiarkan stesen radio berbahasa Melayu Era, milik Astro Radio hari ini.
Berkongsi pengalaman membesar sebagai anak penoreh getah yang mempunyai lapan adik-beradik, Ismail Sabri berkata, kesusahan menjadikan seseorang itu lebih kuat selain turut sama dapat menghargai kesusahan orang lain.
“Orang lain mungkin tahu tentang kemiskinan melalui pembacaan dan sebagainya. Saya merasainya sendiri. Kalau keluar dalam media contohnya waktu COVID-19 tidak bekerja, anak makan pun tak tentu, saya boleh rasakan kalau saya baca dan saya boleh merasai perasaan mereka,” katanya dalam program yang dikendalikan penyampai radio Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy.
Temu bual selama satu jam bersama perdana menteri itu adalah antara pengisian Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia sempena genap setahun pentadbirannya pada 21 Ogos 2021.
Menceritakan pengalaman ketika mula menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu negara, Ismail Sabri berkata, pengalaman untuk mengimbangi keselamatan nyawa rakyat daripada penularan COVID-19 dan pada masa sama menyelamatkan ekonomi dan mata pencarian mereka merupakan perkara yang sukar.
Apatah lagi ketika itu, beliau berkata, tidak ada model dari negara lain yang boleh diikuti kerana seluruh dunia berdepan dengan cabaran dan pengalaman pertama menghadapi wabak yang boleh meragut nyawa itu.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat untuk mempamerkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing.
Beliau berkata negara bebas daripada aspek penjajahan secara fizikal namun penjajahan budaya masih berlaku termasuk di negara-negara lain di dunia.
“…yang penting, kita jangan terlalu dipengaruhi budaya yang saya kira kurang sesuai dengan kita… walaupun anak muda sekarang mendapat kebebasan yang jauh lebih baik berbanding zaman kita dahulu, perlu ada had tertentu supaya tidak dipengaruhi anasir yang tidak baik,” katanya.
Sementara itu, dalam temu bual bersama MY FM, stesen radio berbahasa Cina milik Astro Radio yang berlangsung kira-kira 40 minit, Ismail Sabri berkata, beliau gembira selepas genap setahun mentadbir negara, pelbagai masalah yang dihadapi termasuk ekonomi, politik dan kesihatan dapat diselesaikan dengan baik.
“Walaupun banyak masalah, kita dapat selesaikan. Politik juga stabil berbanding mula-mula saya ambil alih. Jadi walaupun terbeban dengan banyak masalah, saya kata saya ‘happy” (gembira) kerana isu dapat diselesaikan.
“Kita juga dah selesaikan isu ekonomi. Pengumuman Bank Negara Malaysia bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita 8.9 peratus merupakan yang terbaik di Asia Tenggara berbanding kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, China dan sebagainya,” kata perdana menteri. – Bernama