KUALA LUMPUR – Walaupun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dipenjara selama 12 tahun namun hukuman itu seolah-olah tidak memadai kepada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Genap seminggu Najib dipenjarakan, Dr. Mahathir hari ini meneruskan sindirannya terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.
Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali mendakwa Najib telah berjaya menukar budaya dan nilai hidup orang Melayu berkaitan menolak bukti yang jelas dan menerima kenyataan yang tidak berasas.
Dr. Mahathir menyentuh mengenai penafian Najib mengenai wang SRC International Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun Ambank miliknya walaupun kes itu telah dibicarakan selama empat tahun di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Dalam perkongsian terbaharu di media sosialnya, Dr. Mahathir juga seolah-olah tidak berpuas-hati dengan tuduhan Najib sebelum ini yang mendakwa anak-anak beliau menjadi kaya raya ketika Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi Perdana Menteri.
“Dia tidak tahu akan adanya duit ini. Dia belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini. Percaya sahajalah dakwaan Najib. Bukti tidak perlu. Bukti adalah penipuan. Tanya AG (Peguam Negara). Najib tidak salah.
“Yang benar ialah Mahathir memiliki duit berbillion. Duit ini ada di Switzerland dan Taiwan. Apa bukti? Bukti tidak perlu. Najib tahu. Percayalah sahaja.
“Ada surat dari Mahathir kepada Kementerian Kewangan. Mana dia surat ini. Ada pada Najib. Tunjuk. Tunggu. Akan ditunjuk. Percaya sahajalah. Bukti tidak perlu,” kata Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir turut tidak berpuas hati apabila Najib menolak keputusan bersalah yang dibuat oleh hakim dalam kes SRC International.
Beliau secara sinis berkata, hanya pihak Najib sahaja yang benar walaupun selama empat tahun dibicara berpuluh saksi dipanggil untuk memberi maklumat serta dokumen dan bukti lain dipamer untuk menunjukkan kesalahan Najib.
Menurut Dr. Mahathir, hakim telah menulis 800 muka surat berkenaan kesalahan yang didedah oleh saksi, bukti dan hasil siasatan.
“Bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar. Hakim ada conflict of interest. Hakimnya berat sebelah.
“Yang benar ialah penafian oleh Najib, oleh anaknya dan peguam upahannya. Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah.
“Apa dia yang betul. Dakwaan oleh Najib dan peguam upahannya. Ini yang betul. Bukti, saksi, dokumentasi tidak perlu, semua tidak betul.
“Ini ialah satu kejayaan Najib. Menjadi yang benar tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar,” luah Dr. Mahathir.
Sebelum ini Najib sentiasa membalas kenyataan yang dibuat oleh Dr. Mahathir terhadap dirinya di media sosial.
Bagaimanapun tuduhan dan sindiran terkini yang dilemparkan Dr. Mahathir mungkin tidak lagi dapat dibalas oleh Najib kerana beliau kini sedang berada di dalam penjara. – MalaysiaGazette
sampai nak mati laa..org ajar mengucap..dia Najib, Najib, Najib…nampak sangat hati busuk penuh dendam kesumat tua bangka ni…dan skrg ni gelabah sebab ingat penjarakan Najib rakyat akan sokong dia…sorry laa..sila meninggal