Seramai 15 atlet Melaka mencipta kelainan tersendiri apabila mengibarkan Jalur Gemilang pada 13 perahu layar yang dinamakan 'Layar Merdeka' bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 hari ini di Pantai Tanjung Bidara, Melaka.

ALOR GAJAH – Seramai 15 atlet Melaka mencipta kelainan tersendiri apabila mengibarkan Jalur Gemilang pada 13 perahu layar yang dinamakan ‘Layar Merdeka’ bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 hari ini.

Semua mereka berusia antara 13 hingga 18 tahun merupakan atlet sukan perahu layar yang akan mengambil bahagian pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 hingga 24 September ini.

Bagi Wardiah Nafisah Hanafi, 16, dia teruja apabila dapat menyertai program anjuran Persatuan Pelayaran Negeri Melaka (MeSSA) itu dan pada masa sama menjadi pentas latihan sebelum ke SUKMA bulan depan.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65kali diraikan dengan keunikan tersendiri oleh 15 atlet pelayaran Melaka dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada perahu ;ayar dari Kompleks Perahu Layar di Pengkalan Balak ke Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

“Idea ‘Layar Merdeka’ ini unik kerana kebiasaanya orang menyaksikan perbarisan atau kereta berhias pada sambutan Hari Kebangsaan, tapi di Melaka ada perahu layar.

“Saya teruja kerana latihan hari ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan MeSSA kepada pengunjung dari dalam dan luar Melaka yang berkhelah di Pantai Tanjung Bidara ini,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Pandangan sama dikongsikan atlet Michael Adam Vaughn Muhammad Firdaus Shawn, 17, yang berasa bangga apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang di tengah Selat Melaka.

“Sebagai atlet, tentu sekali saya juga mahu melihat Bendera Malaysia yang dikibarkan di perahu layar saya ini, dapat mengharumkan nama negara membawa pulang pingat emas pada SUKMA nanti,” katanya.

Michael Adam Vaughn Muhammad Firdaus Shawn

Seorang pengunjung, Shuhairi Mohd Rawi, 45, yang tiba dari Bangi, Selangor di pusat peranginan itu pada jam 7 pagi tadi berkata, dia terkejut dengan sambutan program berkenaan.

“Sebelum ini, selalunya saya lihat Hari Merdeka disambut di pusat beli belah atau televisyen, tapi hari ini betul-betul bertuah dapat lihat 13 perahu layar mengibarkan Bendera Malaysia.

“Saya harap, keunikan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai penghayatan kemerdekaan melalui sukan yang lebih sihat,” katanya.

Sementara itu Bapa Angkat Kontinjen SUKMA Sukan Pelayaran Melaka, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong berkata, program berkenaan bertujuan mempromosikan MeSSA dalam kalangan pelancong ke negeri ini.

Mohd Noor Helmy

“Kebetulan tahun ini, Melaka kita tiada sambutan Hari Kebangsaan kerana kita sedang membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.

“Sebab itu, sambutan Hari Merdeka kali ini kita raikan dengan keunikan tersendiri iaitu melalui sukan air dengan pelayaran 15 atlet Melaka dari Kompleks Perahu Layar di Pengkalan Balak ke Pantai Tanjung Bidara,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast