KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-65 hari ini disambut dengan gilang- gemilang dan semangat patriotik yang tinggi oleh rakyat negara ini.
Ribuan orang ramai hadir ke Dataran Merdeka pada pagi ini untuk menyaksikan sambutan hari bersejarah negara yang tertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.
Acara perbarisan dan perarakan bermula selepas keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah pada 8.04 pagi tadi dengan menaiki kereta kuda diraja sekitar jam 8 pagi.
Ia diikuti lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Jemaah Kabinet yang lain.
Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, diikuti lagu tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama, yang didendangkan hadirin bersama barisan artis tanah air terdiri daripada Alif Satar, The Locos, Naim Daniel, Aina Abdul, Liza Aziz, Suki Low, Nikky Palikat, Amos Paul dan Amir Masdi.
Mereka diiringi pemuzik Orkestra RTM pimpinan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menampilkan simbolik cintakan negara dengan menekankan semangat patriotisme, perjuangan dan jati diri anak bangsa.
Untuk pengetahuan semua, Dataran Merdeka adalah tapak bersejarah yang menjadi saksi pengibaran Jalur Gemilang buat pertama kali pada 31 Ogos 1957.
MalaysiaGazette yang bersama-sama ribuan Keluarga Malaysia menyaksikan keterujaan mereka untuk menyaksikan perarakan di sepanjang Dataran Merdka.
Keriuhan dan keterujaan mereka apabila kontinjen barisan hadapan Covid-19 melakukan lintas hormat di hadapan pentas orang kenamaan di Dataran Merdeka.
Kontinjen terdiri 84 anggota Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat telah diberi tepukan dan sorakan padu.
Selain acara perbarisan pelbagai kementerian, turut serta perarakan 30 kenderaan klasik bersama 30 karyawan seni.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, persembahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sering ditunggu-tunggu.
Kali ini ATM memulakan acara perbarisan dengan persembahan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas berserta aset-aset milik ATM.
Aset pesawat udara kontinjen keselamatan negara kemudian dipamerkan di ruang udara, melibatkan dua jenis pesawat pengangkut terbesar A400M dan C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebelum penutup, ruang udara Kuala Lumpur digegarkan dengan persembahan lintas udara yang dibarisi 21 pesawat helikopter pelbagai agensi ATM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.- MalaysiaGazette