Orang ramai tidak melepaskan melihat lebih dekat perarakan oleh peserta pembarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ditunjukkan pada hari ini jelas membuktikan seluruh Keluarga Malaysia mempunyai semangat dan nilai patriotisme yang tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

”Alhamdulillah, hari ini Dataran Merdeka kembali menjadi saksi kepada sambutan 65 tahun, negara mengecapi nikmat kemerdekaan. Sungguh meriah sekali, lebih 100,000 Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa hadir meraikannya.

”Saya pasti ramai yang datang seawal pagi untuk melihat acara perbarisan dan perarakan oleh pelbagai kontinjen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia serta pertunjukan terbang lintas pesawat udara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berharap keamanan dan keharmonian yang nikmati sehingga kini terus dikekalkan dengan membawa semangat Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette