Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Rafizi Ramli dalam masa terdekat ini berkaitan dakwaan fitnah dan tohmahan terhadap Datuk Abdul Latiff Ahd berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) melalui platform media sosial milik Timbalan Presiden PKR itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan sudah menerima laporan polis berhubung fitnah itu.

Menurutnya, laporan itu dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad semalam.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 22 Ogos yang lalu jam lebih kurang 12 tengah hari.

”Kenyataan berkenaan telah disiarkan di laman web rafiziramli.com, di laman Facebook Rafizi www.facebook.com/rafiziramli.keadilan dan di laman Twitter Rafizi twitter.com/rafiziramli pada beberapa tarikh yang berlainan.

“Selain itu pada tarikh 25 Ogos lalu terdapat dua buah video yang berkaitan telah disiarkan melalui akaun TikTok dan Instagram rafiziramli,” katanya.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) penggunaan tidak wajar kemudahan Rangkaian dan Perkhidmatan Rangkaian. – MalaysiaGazette