Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari ketika melancarkan buku Pengerusan Pilihanraya Pemuda pada Majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas mahu mengadakan rundingan dengan UMNO terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifakan kritikal dan boleh dimenangi jika tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua parti dalam pilihan raya umum nanti.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kesemua kerusi tersebut adalah kawasan Parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurut Tuan Ibrahim, sekiranya Pas dan UMNO tidak bertembung, 27 kerusi itu akan dimenangi oleh salah sebuah parti sekaligus boleh menewaskan PH.

“Kerusi ini dimenangi oleh PH sekarang Pas tak menang, UMNO pun tak menang. Kalau muafakat politik dapat dibuat kita jangka kawasan itu kita menang. Misalnya Parlimen Raub dan Bentong.

“Pas terbuka dalam hal ini untuk melihat jauh ke depan kepentingan tersebut. Walau bagaimanapun sebagai sebuah parti kita bersedia dalam semua situasi.

“27 kerusi yang kita rasa kalau bertembung, dua-dua parti akan rugi. Perikatan Nasional rugi dan Barisan Nasional pun rugi,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang akhbar hari ini.

Para perwakilan ketika menyanyikan lagu PAS pada majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-63 di Raia Hotel, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 SEPTEMBER 2022.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan pemuda Pas Malaysia ke-63 di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, ketika ini masih belum ada rundingan dengan UMNO tetapi keputusan berkaitan perkara itu akan dibuat bulan ini.

“Saya nak tegaskan bahawa Pas mendokong penyatuan ummah sebagai teras muafakat politik. Itu teras yang kita masih pegang dan diulang-ulang oleh Presiden parti.

“Tidak ada (rundingan lagi). Cuma hubungan kita dalam konteks Kerajaan Persekutuan yang mendokong semua parti UMNO, Pas dan Bersatu. Hubungan kita sangat baik. Tidak ada masalah hubungan peribadi. Cuma dalam konteks parti belum,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau menjelaskan platform Muafakat Nasional (MN) boleh digunakan dalam merundingkan 27 kerusi tersebut.

Tambahan kata beliau, MN masih belum dibubarkan dan akan dikekalkan kerana gagasan itu masih boleh digunakan terhadap isu-isu yang membabitkan orang Melayu dan Islam.

“Perundingan kita melihat muafakat dalam kerangkan MN. Saya ingin tegaskan MN belum dibubar. UMNO tak isytihar bubar, Pas pun tak isytihar bubar.

“Kita perlu mengekalkan platform ini kerana kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara.

“Kalau pun bukan dalam konteks politik kita banyak lagi isu-isu yang perlu dilihat bersama. Jadi platform itu kena ada,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan perundingan dengan UMNO terhadap 27 kerusi terbabit adalah satu opsyen supaya tidak berlaku seperti pepatah ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’.-MalaysiaGazette