KUALA LUMPUR – Peguam pembelaan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Jagjit Singh hari ini melahirkan rasa hairan dengan sikap acuh tidak acuh pendakwaan yang tidak langsung menafikan dokumen yang didakwa bocor itu sebagai dokumen palsu.
Jagjit berkata demikian sambil merujuk salinan dokumen didakwa bocor yang disiarkan di mahkamah menerusi projektor di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini ketika berhujah berhubung permohonan mengapa hakim itu perlu menarik diri daripada mendengar kes ini.
Kata Jagjit, walaupun beliau amat yakin dengan kredbiliti Mohamed Zaini sebagai hakim namun kehadiran dokumen bocor itu juga disifatkan agak membimbangkan kerana draf dokumen itu telah disediakan bagi pertimbangan hakim untuk kes rasuah solar hibrid ini.
Untuk makluman, dokumen itu bukan penghakiman bertulis sebenar untuk kes Rosmah, tetapi salinan penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Jagjit juga menyoal siapakah ‘kami’ dalam draf penghakiman yang disediakan itu.
Draf itu telah mula tular sebagai dokumen ‘bocor’ sejak minggu lalu.
“Siapa ‘kami’ ini? Nampaknya penulis draf penghakiman ini ada akses kepada semua nota keterangan. Macam mana seorang yang bukan hakim boleh ada akses seperti ini dan membuat penemuannya sendiri?,” soalnya.
Bagaimanapun Mohamed Zaini mencelah dan menyatakan beliau bertindak adil dengan mendengar semua pihak termasuklah pembelaan.
Mohamed Zaini: Adakah kamu mencadangkan ini adalah draf penghakiman saya. Saya bertindak adil dengan mendengar kamu.
Jagjit: Tidak Yang Arif. Saya tidak mencadangkan penghakiman yang disediakan oleh Yang Arif.
Mohamed Zaini: Adakah kamu melihat dua dokumen ini sebagai pendapat atau draf penghakiman?
Jagjit: Saya berpendapat ia adalah draf penghakiman oleh pihak ketiga.
Mohamed Zaini: Adakah kamu sedang cuba memberitahu saya bahawa saya akan menggunakan draf ini dalam penghakiman saya?
Jagjit: Saya tidak boleh berbuat demikian. Itu yang menyebabkan saya bimbang jika adanya keadaan berat sebelah kelak.
Sementara itu, dengan nada sinis, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pula bertanya adakah jika adanya draf pembebasan Rosmah, permohonan seumpama ini akan dibuat oleh pembelaan supaya hakim menarik diri daripada mendengar dan menghakimi kes rasuah solar hibrid.
Namun dengan nada berang, Jagjit menjerit demi keadilan pihaknya akan tetap membuat permohonan sama.
Ketika ini prosiding ditangguh untuk makan tengah hari.
Mohamed Zaini akan membuat keputusannya sama ada akan membenarkan permohonan Rosmah yang mahu beliau menarik diri serta menghakimi keputusan hari ini dibenarkan atau sebaliknya.
Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus
Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram sementara peguam Jagjit Singh mengetuai pihak pembelaan. – MalaysiaGazette