MELAKA – Polis merampas hampir 36,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM302,535 di sebuah stor simpanan haram di Kawasan Perindustrian Krubong di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pukul 4 petang itu turut berjaya menahan tiga penjaga stor termasuk dua warga asing.
Menurutnya, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek berusia antara 32 hingga 50 tahun sedang berada dalam stor simpanan bahan bakar untuk pasaran gelap itu yang mula beroperasi sejak dua bulan lalu.
“Hasil pemeriksaan, kita merampas sebuah lori tiga tan, lima unit tangki, empat set pam minyak dan lima set hos lutsinar yang dipercayai digunakan dalam kegiatan haram itu.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak di negeri ini dan Negeri Sembilan menggunakan lori tiga tan yang diubah suai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah Christopher, minyak diesel itu akan dibeli peraih dengan harga lebih murah daripada harga pasaran iaitu RM2.15 seliter.
“Ia kemudian akan dipasarkan pada industri tempatan atau pasaran gelap dengan harga RM3.50 hingga RM4 seliter,” katanya.
Tambahnya, ketiga-tiga sespek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta bagi individu atau tiga tahun penjara manakala denda sehingga RM5 juta dikenakan terhadap syarikat atau organisasi yang terbabit dengan kesalahan itu. – MalaysiaGazette