KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 35 tahun direman lima hari bermula Khamis lalu kerana disyaki mendera pembantu rumahnya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tangkapan dibuat pada Khamis lalu susulan laporan polis daripada pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa menjadi mangsa dera majikannya sejak 2019.
Katanya, wanita yang berusia 46 tahun tersebut mendakwa didera secara fizikal itu berjaya melarikan diri dari kediaman majikannya di Batu Caves.
“Suspek telah direman di Mahkamah Majistret Selayang pada 01/09/2022 dan permohonan tahanan reman telah dibenarkan selama lima hari sehingga 05/09/2022,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut.
Noor Ariffin berkata, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan bagi kes ini dan telah bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan ke atas suspek,” jelasnya. – MalaysiaGazette