KUALA LUMPUR – Lebih banyak sumbangan akan diberikan kerajaan kepada bekas-bekas atlet negara menerusi program yang boleh memberi manfaat bagi menambah sumber pendapatan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mempunyai tujuan yang jelas dalam menjaga kebajikan atlet yang telah memberi sumbangan besar untuk mengharumkan negara.
Katanya, kerajaan tidak akan melupakan sumbangan mereka ibarat seperti habis manis sepah dibuang.
“Saya bukan nak burukkan siapa-siapa. Waktu kerajaan lain (Pakatan Harapan) perintah 22 bulan, bukan sumbangan tak diberikan…ada cawangan YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) nak ditutup, apabila kita memerintah semula sumbangan kewangan diberikan.
“Saya ingin maklumkan baru-baru ini saya telah salurkan peruntukan RM3 juta kepada YAKEB, tahun ini tahun lepas. Tahun depan ada lagi.
“Saya harap dengan peruntukan ini lebih banyak program bermanfaat dapat diberi kepada bekas atlet seperti kursus usahawan untuk ahli menambah sumber pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ketujuh YAKEB di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu.
Dalam pada itu Perdana Menteri menggesa agar bekas-bekas atlet yang masih belum mendaftar dengan YAKEB agar berbuat demikian.
Katanya, langkah itu perlu supaya bantuan yang ingin disalur oleh kerajaan lebih mudah dihulur berbanding mereka yang belum mendaftar.
Sementara itu, Ismail Sabri meminta Ahmad Faizal melihat tanah-tanah milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang masih belum digunakan untuk diberi kepada YAKEB bagi membangunkan sebuah bangunan.
Ujarnya, usaha itu merupakan komitmen yang membuktikan beza kerajaan hari ini dengan kerajaan terdahulu.
“Elok Yang Berhormat Menteri tengok tanah tersebut sebahagian diberikan kepada YAKEB untuk bina Wisma YAKEB.
“Buat costing, kos pembinaan bangunan tersebut. Jadi tuan-tuan ini beza kerajaaan sekarang dengan dulu-dulu.
“Pihak kerajaan akan terus memberi bantuan kepada YAKEB untuk teruskan perjuangan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette