Noraini Ahmad

BAGAN SERAI – Kes tuduhan yang tular di media sosial oleh seorang calon ijazah doktor falsafah (PhD) antarabangsa yang mendakwa kajiannya diambil penyelia Universiti Malaya (UM) tanpa kebenaran kini di bawah tindakan pihak polis.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihak UM telah membuat laporan polis dan pihaknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkaitan.

“Siasatan diserahkan kepada universiti yang mempunyai autonomi sendiri jadi UM menjalankan siasatan dan membuat laporan polis (untuk tindakan lanjut),” katanya ketika ditemui pemberita selepas penutupan Karnival Komuniti@KKBSe di pekarangan Kolej Komuniti Bagan Serai, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan isu tular di media sosial seorang pelajar asing membuat laporan polis terhadap UM mendakwa bahawa kajiannya diambil tanpa pengetahuan.

Menerusi video berdurasi lebih seminit itu, pelajar berkenaan antaranya memaklumkan telah menghabiskan hampir dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan dan kecewa apabila kajiannya diambil pihak universiti.

Pada 29 Ogos lepas, UM dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan berkata menjadi dasar universiti bahawa hasil penyelidikan dan ilmiah merupakan hak milik universiti.

UM dilaporkan membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan calon itu dan sedang mengkaji tindakan perundangan bersesuaian.

Kenyataan itu turut menyatakan pihak universiti telah memberi peluang dan sumber bagi membantu calon terbabit menyempurnakan PhD termasuk pelanjutan tempoh pengajian sebanyak tiga semester selepas tamat tempoh maksimum 12 semester dengan yuran ditaja fakulti.

Bagaimanapun calon berkenaan belum menamatkan pengajian mengikut tempoh lanjutan yang diberi malah UM turut mengadakan beberapa sesi kaunseling dan melantik penyelia tambahan bagi membantu beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya Noraini berkata penawaran kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti dapat diterima baik oleh semua golongan masyarakat dan dijadikan sebagai platform serta usaha berterusan untuk memajukan diri dalam menceburi bidang teknikal dan vokasional seterusnya berpeluang mencipta kerjaya pada masa akan datang.

“Penawaran kursus ini di kolej komuniti dan politeknik berperanan memberi pengetahuan dan kemahiran kepada masyarakat dalam pelbagai bidang tanpa mengira peringkat umur.

“Tambahan ilmu dan kemahiran ini dapat membantu masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus mampu mempersiapkan diri memasuki Revolusi Perindustrian 4.0 yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital,” katanya. – Bernama