Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

ALOR SETAR – Pas mempunyai tanggungjawab mengajak perpaduan umat dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak kerana pendekatan yang berpecah sebelum ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perpecahan yang berlaku menyebabkan kelemahan umat Islam hingga menghilangkan kuasa memerintah negara.

Abdul Hadi berkata, parti itu juga bertanggungjawab menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera.

Serentak itu Pas memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk’ yang menolak sebarang agenda perpaduan kaum sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

Dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 Abdul Hadi berkata, melalui konsep yang diperkenalkan Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong.

“Jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan. Namun, Pas tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

“Malah, Pas juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus, kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

“Justeru, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran,” katanya.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (kanan) bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

Dalam ucapan bertemakan Malaysia Sejahtera, Abdul Hadi berkata, Pas menyerahkan mandat kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya.

Mandat yang diberikan termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum-15 demi memastikan Islam terus memimpin.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, parti-parti politik seharusnya mengurangkan suhu politiking sesama mereka, sebaliknya memberi tumpuan untuk usaha membangunkan semula negara.

Menurut beliau, kebijaksanaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan persefahaman politik bersama parti-parti pembangkang demi mewujudkan kestabilan politik adalah satu langkah yang matang.

Langkah itu membolehkan usaha-usaha untuk membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar

Pas katanya, terlebih dahulu mengambil pendekatan kerjasama Kerajaan dan pembangkang pada 2015 ketika belum berada dalam Kerajaan melalui budaya politik matang dan sejahtera (BPMS).

“Hari ini, kita boleh menyaksikan sendiri pendekatan BPMS ini
sememangnya wajar dibudayakan dalam kalangan parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang.

“Saya menyeru kepada parti-parti politik untuk menelaah teras-teras politik BPMS yang diperkenalkan oleh Pas, demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” kata Abdul Hadi.

Antara perwakilan yang hadir ke pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 03 SEPTEMBER 2022.

Beliau yakin pengundi-pengundi baru terutama berusia 18 tahun mahukan amalan berpolitik yang berintegriti, berprinsip, mengutamakan rakyat dan membawa keharmonian.

Berteraskan BPMS, Pas menawarkan kepada pengundi-pengundi baru suatu amalan berpolitik yang mengutamakan kepentingan rakyat, seterusnya memupuk integrasi nasional ke arah mewujudkan Malaysia yang sejahtera, ujarnya.

Turut hadir pada muktamar hari ini adalah Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddi Yassin dan Presiden Gerakan Senator, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Amanah tu bukan Parti Melayu kaa? Bukan Islam yg tidak ektrim? Bukan Gerakan tu parti yg saman PAS isu hudud di mahkamah? hadooiii lebai lebai

Comments are closed.